MEGAT Shahrul Azmir pada sidang media di UMW Corporation.
MEGAT Shahrul Azmir pada sidang media di UMW Corporation.
Sofyan Rizal Ishak

Shah Alam: UMW Lubricant International Sdn Bhd (UMW Lubricant), anak syarikat UMW Corporation Sdn Bhd (UMW Corporation) menyasarkan pendapatan sehingga RM100 juta bagi jenama minyak pelincir Grantt dalam tempoh empat tahun akan datang.

Pengarah Eksekutif Pembuatan dan Kejuruteraan UMW Corporation, Megat Shahrul Azmir berkata, syarikat yakin mampu mencapai sasaran itu melalui pelaksanaan pelbagai kempen promosi secara agresif dan penerokaan pasaran eksport.

“Sejak jenama ini dilancarkan dua tahun lalu, ia menerima sambutan amat menggalakkan terutama produk minyak enjin diesel yang menyumbang hampir 30 peratus daripada jualan Grantt pada ketika ini,” katanya, semalam.

Grantt adalah jenama minyak pelincir keluaran UMW Lubricant yang dibahagikan kepada enam kategori iaitu bagi kategori kereta penumpang (PCMO), enjin diesel, motosikal, transmisi, perindustrian dan gris.

Beliau berkata, pihaknya dijangka terus meluaskan pasaran produk pelincir jenama Grantt ke Myanmar pada hujung tahun ini selepas kejayaan menerokai pasaran Kemboja, Brunei, China dan Singapura.

“Kami berhasrat untuk mengukuhkan lagi kehadiran jenama ini di rantau ASEAN melalui penerokaan pasaran di Indonesia dan Laos dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.

UMW Lubricant juga menyasarkan untuk menguasai pasaran sekurang-kurangnya tiga hingga lima peratus bagi jenama Grantt di pasaran produk pelincir tempatan dalam tempoh empat tahun akan datang.

Dalam perkembangan sama, UMW Lubricant terus agresif mempromosikan jenama Grantt sebagai jenama premium melalui tajaan di Borneo Safari International Off -Road Challenge dengan Grantt menjadi penaja platinum acara terbabit.

UMW Lubricant melalui Grantt akan menaja minyak enjin diesel Quasar SAE15W-40 CI-4 bagi empat trak korporat yang akan berada di acara yang bakal berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 30 Oktober hingga 6 November ini.

Selain itu, jenama Grantt turut menjadi penaja eksklusif Kejohanan Rali Malaysia pusingan ketiga dan keempat di Johor Bahru (28 hingga 30 Oktober) dan Sri Iskandar (2 hingga 4 Disember) serta penaja pasukan GT Racing Team di Grand Prix Macau (19 hingga 20 November).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 7:27 AM