S Jivinrao yang dilaporkan hilang.
S Jivinrao yang dilaporkan hilang.
Farah Suhaidah Othman


Batu Gajah : Pelajar lelaki tingkatan tiga di sekolah menengah di Buntong, Ipoh dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman keluarganya di Bandar Sri Pengkalan, Ipoh sejak 16 Oktober lalu.

S Jivinrao, 15, kali terakhir dilihat keluarganya di rumah pada 8 malam hari kejadian sebelum dipercayai pergi ke rumah kawannya di Buntong.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu pelajar itu pada 20 Oktober lalu.

Katanya, dalam laporan itu, polis diberitahu oleh ibu mangsa yang mana pelajar berkenaan tidak pulang ke rumah sejak 16 Oktober lalu.

"Pelajar berkenaan kali terakhir dilihat memakai baju T dan seluar pendek serta membawa beberapa helai baju dan seluar sebelum keluar menaiki motosikal Yamaha EX5 warna biru.

"Pengadu memberitahu dia sudah mencari pelajar berkenaan di rumah rakan dan saudara-mara namun sehingga kini pelajar itu gagal dikesan," katanya.

Mohd Nasri berkata, gambar yang digunakan keluarga untuk mengesan pelajar itu bagaimanapun adalah gambar ketika dia berusia enam tahun dan dimaklumkan mereka tidak mempunyai gambar terkininya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 11:33 PM