GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

PELAJAR lelaki tingkatan tiga cuba membunuh diri dengan meminum racun jenis paraquat yang ditemuinya di dalam tandas sebuah sekolah di Buntong, Ipoh, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun oleh gurunya selepas mengalami muntah dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Pada mulanya mangsa mendakwa seorang lelaki datang dari belakang secara tiba-tiba lalu mencekik lehernya dan menuang cecair ke mulutnya ketika sedang membuang air kecil di tandas sekolah.

“Mangsa mendakwa dia meronta cuba melepaskan diri lalu lari ke dalam kelas tanpa melihat suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasil siasatan di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang bekas berisi racun dan mangsa tidak ingat di mana dia membuang botol racun terbabit selepas meminumnya.

Menurutnya, ragu dengan keterangan diberikan mangsa, pegawai penyiasat mengambil keterangan pelajar itu sekali lagi Sabtu lalu.

Katanya, mangsa mengaku tiada suspek yang memasukkan cecair ke dalam mulutnya sebaliknya dia menjumpai cecair itu dalam botol di tandas dan meminumnya sedikit.

“Pelajar itu memberitahu racun itu tersimpan di dalam botol di atas sinki di hadapan tandas sekolah, yang botolnya dibuang ke dalam longkang selepas meminumnya,” katanya.

Mohd Ali berkata, pelajar itu membuat pengakuan kepada bapa saudaranya bahawa dia meminum sendiri racun itu, namun enggan memaklumkan kepada keluarganya mengenai kejadian sebenar kerana bimbang akan dimarahi.

“Perkara sebenar hanya diketahui oleh bapa mangsa, bapa saudara dan ibu saudara mangsa, namun kesemuanya enggan memberitahu ibu mangsa mengenainya disebabkan bimbang ibu mangsa tidak boleh menerima kenyataan,” katanya.

Katanya, pihaknya juga dimaklumkan oleh mangsa bahawa dia tiada sebarang masalah mengenai percintaan, perhubungan kekeluargaan atau permusuhan serta permasalahan dengan sesiapa di sekolah.

“Ibu bapa mangsa tidak bercerai, tetapi tidak duduk bersama,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 11:08 AM