DR Lee (kiri) ketika melawat Klinik Kesihatan Bijih Timah, Ipoh. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
DR Lee (kiri) ketika melawat Klinik Kesihatan Bijih Timah, Ipoh. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
Balqis Jazimah Zahari


KLINIK kesihatan yang tidak selamat dan berada di lokasi yang tidak sesuai akan ditutup bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat lebih baik.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya kini sedang meneliti klinik berkenaan terutama yang berada di luar bandar dan kawasan terpencil.

“Kita melihat ada satu, dua sahaja klinik seperti ini (tidak bersesuaian) di seluruh negara, misalnya terdapat satu di Miri, Sarawak yang mana memang klinik menyewa daripada gereja dan apabila hujan kawasan itu banjir.

“Jadi kita terpaksa tutup dan perlu bangunkan satu klinik yang baharu di tapak yang berdekatan,” katanya yang ditemui selepas Lawatan Kerja di Klinik Kesihatan Bijih Timah, Ipoh hari ini.

Dr Lee berkata, klinik kesihatan dan desa yang dibina pada 60-an dan 70-an juga perlu dinilai semula supaya kemudahan ditawarkan masih relevan dan bersesuaian untuk penduduk.

“Sebelum ini klinik berkenaan untuk penduduk luar bandar yang terpencil, tetapi sekarang sudah banyak kawasan yang membangun dan pengangkutan sudah meningkat.

“Jadi kita mungkin perlu melihat semula bagaimana kita akan menguruskan klinik di kawasan terpencil itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Klinik Kesihatan Bijih Timah akan ditutup berikutan infrastruktur yang tidak sesuai, selain banyak fasiliti kesihatan awam yang berdekatan.

Katanya, pesakit yang kerap mendapatkan rawatan di klinik itu disaran ke klinik kesihatan di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Klinik Kesihatan Greentown atau Klinik Kesihatan Buntong.

“10 kakitangan termasuk dua pegawai perubatan akan dipindahkan ke klinik kesihatan yang lain,” katanya.

Beliau juga mengulas mengenai bangunan baharu HRPB yang sudah beroperasi Disember lalu membabitkan Bahagian Kardiologi bagi fasa awal.

Kementerian menjangkakan bangunan digunakan sepenuhnya pada Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 12:23 PM