Nauraj (kanan) dan Nur Aisyah bersama Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Johor. FOTO NSTP/HAIRUL ANUAR ABD RAHIM
Nauraj (kanan) dan Nur Aisyah bersama Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Johor. FOTO NSTP/HAIRUL ANUAR ABD RAHIM
Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pemenang pingat emas acara lompat tinggi Sukan SEA Singapura Nauraj Singh Randhawa dinobatkan Olahragawan Johor 2015, malam tadi.

Atlet perahu layar Nur Aisyah Jamil selaku penyumbang pingat emas sukan dwi tahun itu dinobatkan Olahragawati Johor pada majlis Anugerah Sukan Johor 2015 berlangsung di sini.

Nauraj mengenepikan atlet memanah negara, Haziq Kamarudin dan pemain badminton beregu negara, Tan Kian Weng.

Nur Aisyah dalam kategori wanita Kelas Int 420 menewaskan dua pencabar iaitu Ho Ying bagi sukan ping pong dan Lim Chiew Sim untuk sukan badminton.

Kedua-dua atlet itu masing-masing menerima piala pusingan dan wang tunai RM5,000 dan hadiah disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin. Turut hadir Pengerusi Jawatankuas Belia, Sukan Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Bagi Olahragawan harapan dimenenangi atlet renang negara, Wong Fu Kang mengenepikan Muhammad Shah Firdaus Sahrom (basikal) dan Daeng Abd Rahman Abd Aziz (golf).

Olahragawati harapan milik pemain golf muda negara, Loy Hee Ying mengatasi pencabar Tay Ka Ying (ping pong).

Pasukan terbaik lelaki milik pasukan kanu Johor manakala pasukan terbaik wanita milik pasukan ping pong Johor selepas muncul juara peringkat kebangsaan Kejohanan Ping Pong kali ke-52. Penggerak sukan dianugerahkan kepada Chok Kong Yu (karate-do).

Bagi kategori jurulatih sukan terbaik, Abd Aziz Hashim dipilih untuk kategori itu selepas memastikan Johor kerap mencipta kemenangan dalam sukan perahu layar selain melahirkan atlet seperti Nur Aisyah dan Eiman Shahrin sehingga kedua-dua atlet itu menyinar di peringkat antarabangsa terutama Sukan SEA di Singapura.

Kejayaan bola sepak Johor Darul Ta'zim (Johor DT) menyerlah sepanjang musim 2015 menyaksikan Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim dipilih memenangi kategori Kepimpinan Sukan.

Majlis sukan daerah terbaik diraih Majlis Sukan Daerah Kulai.

Persatuan sukan terbaik dianugerah kepada Persatuan Kabaddi Johor manakala Anugerah Khas Juri dimenangi Johor DT selaku penerima anugerah atas pencapaian sepanjang musim lalu.

Tokoh Sukan dianugerahkan kepada Bapa Bolasepak Johor, Datuk Suleiman Mohd Noor yang menjadi pencetus kebangkitan bola sepak negeri ini ketika era 1980-an dan 1990-an.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 12:34 AM