Mohammad Shah Firdaus (kanan) menerima trofi Olahragawan Johor daripada Exco Belia dan Sukan Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah (tengah) yang turut diiringi Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Mohd Ekmaluddin Ishak (kiri) pada majlis Anugerah Sukan Johor di Persada Johor, semalam.
Mohammad Shah Firdaus (kanan) menerima trofi Olahragawan Johor daripada Exco Belia dan Sukan Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah (tengah) yang turut diiringi Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Mohd Ekmaluddin Ishak (kiri) pada majlis Anugerah Sukan Johor di Persada Johor, semalam.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Atlet berbasikal negara, Muhammad Shah Firdaus Shahrom dan atlet menembak negara, Nurul Syasya Nadiah Mohd Amin dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati pada Anugerah Sukan Johor kali ke-30 yang diadakan di Persada Johor, semalam.

Mohammad Shah Firdaus dipilih berdasarkan pencapaiannya yang mengharumkan nama negara apabila menempatkan diri diranking ke-12 bagi acara keirin dan sprint di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2021 selain meraih pingat gangsa di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Mohammad Shah Firdaus begitu teruja selepas dinobatkan Olahragawan Johor buat kali kedua selepas memenanginya pada 2019 malah agak terkejut apabila berjaya menewaskan dua atlet berstatus dunia iaitu atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan dan pemain perseorangan badminton negara, Ng Tze Yong.

"Ini adalah anugerah kali kedua selepas kali pertama saya tidak dapat kerana menyertai acara berbasikal di luar negara dan malam ini (semalam) saya sendiri yang menjulang anugerah sukan berprestij Johor dan ianya memberi lebih semangat buat membuat persiapan menghadapi temasya Sukan Olimpik di Paris, Julai ini," katanya.

Bagaimanapun bagi Olahragawati Johor, Nurul Syasya Nadiah tidak dapat hadir pada majlis berkenaan dan ibunya, Zainorida Ngarip mewakili anaknya untuk menerima anugerah berpresitij yang turut menewaskan dua lagi calon iaitu atlet berbasikal, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad dan atlet menembak Mumtazah Syahidah Shamsuri.

Nurul Syasya Nadiah meraih gelaran itu berdasarkan pencapaian meraih pencapaiannya memenangi pingat emas pingat emas 10 meter (m) air pistol wanita pada penampilan sulungnya di Sukan SEA 2022, Hanoi, Vietnam.

Dalam pada itu, kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) mendominasi kategori pasukan lelak terbaik pada majlis anugerah berkenaan manakala Team Pursuit Wanita SUKMA Johor menempah nama sebagai pasukan wanita terbaik.

Legenda atlet 200 meter dan 400 meter negara, Nordin Jadi yang menerima Anugerah Jasamu Dikenang selepas bukan sahaja mengharumkan nama negara dalam acara trek malah turut giat terbabit dalam pembangunan atlet muda Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 2:00 PM