Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan mungkin terpaksa melakukan catuan air secara berkala dalam tempoh dua minggu lagi, jika paras air tidak meningkat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, itu adalah langkah terakhir yang mungkin dilakukan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dalam tempoh dua minggu ini berikutan air sungai semakin kering kerana jumlah taburan hujan sedikit.

"Saya perlu memaklumkan lebih awal yang kita mungkin terpaksa mencatu bekalan air secara berkala jika keadaan masih tidak berubah. Kita mungkin lakukan catuan itu pada waktu malam.

"Kawasan yang dijangka terjejas adalah Kuala Pilah, Jempol, Gemas, Tampin dan Jelebu. Besar kemungkinan Seremban juga terpaksa dilaksanakan catuan air," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamad menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bahawa kes pencemaran air di Selangor mempunyai unsur sabotaj.

Menurutnya, hasil siasatan dilakukan mendapati tiada unsur pencemaran atau sabotaj di sungai dekat Nilai sehingga menjejaskan air di Selangor, seperti yang diperkatakan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 5:10 PM