Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan Selangor tidak menolak kemungkinan bahawa insiden pencemaran bau di Sungai Selangor yang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) henti tugas tengah hari tadi berpunca daripada tindakan sabotaj.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian berkata, hasil pemeriksaan awal, pihaknya mendapati pencemaran itu berpunca dari loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK).

Katanya, lokasi pencemaran dikesan di Taman Velox, Rawang yang mana pihaknya mengesan terdapat bahan seakan minyak di dalam lurang IWK di kawasan itu.

"Untuk makluman juga, pemeriksaan yang dilakukan sekitar jam 2 hingga 7 pagi tadi oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mendapati bacaan air di Sungai Gong dan Sungai Sembah masih berada di tahap kosong ton.

"Justeru, pencemaran ini mungkin berlaku antara jam 7 hingga 10 pagi dan kita mengesyaki ada sabotaj yang berlaku.

"Kerajaan negeri akan membuat laporan polis mengenai hal ini dan siapa yang di belakang (tindakan sabotaj)," katanya pada sesi penggulungan usul bajet peruntukan pembangunan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika Elizabeth Wong Keat Ping (PH-Bukit Lanjan) mencelah sesi penggulungan dan bertanya mengenai insiden pencemaran berkenaan yang berlaku 24 jam selepas Rang Undang-Undang (RUU) LUAS Pindaan 2020 diluluskan, semalam.

Terdahulu, empat LRA iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihentikan tugas selepas pencemaran bau seakan-akan pelarut dikesan di Sungai Selangor pada jam 12.20 tengah hari tadi.

Susulan itu, Air Selangor dalam kenyataannya memaklumkan sebanyak 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan di sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat akan mengalami gangguan bekalan air mulai jam 6 petang ini.

HEE Loy Sian. FOTO arkib NSTP
HEE Loy Sian. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 5:23 PM