Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Polis menjalankan siasatan berhubung kes pencemaran air di alur sungai di Jalan KB 1/10, Kampung Baru Balakong, Balakong di sini, selepas menerima laporan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai JAS Selangor berhubung perkara itu.

Katanya, pegawai JAS Selangor itu melaporkan ada kesan minyak hitam terapung di permukaan alur air dari kawasan perumahan ke sungai yang disyaki unsur sabotaj.

"Susulan laporan itu, kami pergi ke lokasi kejadian bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Indah Water Konsurtium (IWK) untuk membantu siasatan.

"Beberapa sampel minyak bercampur air turut diambil untuk diuji kandungannya bagi tujuan siasatan dan pendakwaan nanti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Luas dalam kenyataannya, memaklumkan pihaknya menerima aduan pencemaran minyak hitam di lokasi terbabit pada 6 petang, semalam.

"Hasil siasatan mendapati bahan pencemaran itu seperti sisa minyak enjin terpakai yang dibuang ke dalam alur air dengan alirannya memasuki Sungai Balak dan seterusnya Sungai Langat.

"Luas sudah menjalankan pensampelan dan sedang mengambil tindakan kawalan di tapak pencemaran," katanya.

Katanya, pada masa sama, Luas meletakkan oil pad dan oil boom di lokasi pembuangan minyak bagi menghalang aliran minyak ke alur seterusnya ke Sungai Balak.

PENCEMARAN air di Jalan KB 1/10 Kampung Baru Balakong, Balakong, Kajang. FOTO Ihsan Polis
PENCEMARAN air di Jalan KB 1/10 Kampung Baru Balakong, Balakong, Kajang. FOTO Ihsan Polis

"Hasil siasatan Luas di tapak mendapati lokasi pembuangan minyak itu adalah kawasan bertakung dan ia disyaki pembuangan haram oleh pihak ketiga.

"Pemantauan oleh Luas bersama agensi yang berkaitan akan dijalankan dari semasa ke semasa termasuk kesan di Sungai Balak dan Sungai Langat selain perbincangan pegawai Luas bersama Span, JAS cawangan Kajang dan agensi berkaitan di tapak pencemaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 12:38 PM