Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjangkakan bekalan air di 1,279 kawasan yang terjejas dengan gangguan tidak berjadual semalam, akan pulih secara berperingkat mulai esok

Air Selangor dalam kenyataan berkata, ia susulan Loji Rawatan Air (LRA) miliknya yang kembali beroperasi pagi tadi dan berupaya mengagihkan air lebih awal iaitu pada 1.45 petang hari ini.

"Penyaluran air bersih pada sistem agihan berjalan lancar dan pelan pemulihan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama merangkumi 599 kawasan yang dijangka pulih sepenuhnya pada 3.00 petang esok.

"Manakala kumpulan kedua (680 kawasan) pula akan pulih sepenuhnya pada 3.00 petang, Jumaat.

"Air Selangor ingin menekankan bahawa air yang dibekalkan kepada pengguna melalui ujian kualiti air dan pematuhan berdasarkan kepada standard Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serta disahkan tiada bau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)," kata kenyataan itu.

Syarikat turut memahami kerisauan semua pengguna dalam mendapatkan bekalan air bersih khususnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Berikutan itu, Air Selangor kecewa dengan pencemaran yang kerap berlaku hingga menyebabkan LRA terpaksa ditutup dan akan terus menyokong usaha semua pihak dalam membanteras jenayah alam sekitar.

"Kami percaya, pihak berkuasa berkenaan sudah menjalankan tugas mereka untuk menyelesaikan perkara itu dan akan terus komited dalam memastikan pengguna Air Selangor mendapat bekalan mengikut jadual yang kami sediakan," katanya.

Dalam pada itu, bantuan bekalan air menerusi 111 lori tangki terus dihantar ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis, serta kawasan perumahan, selain bekalan alternatif yang disediakan di 14 pili air awam serta 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS).

PENDUDUK di flat Sunway Jalan PJS 7/15 mengambil air dari lori tangki Air Selangor. FOTO Osman Adnan.
PENDUDUK di flat Sunway Jalan PJS 7/15 mengambil air dari lori tangki Air Selangor. FOTO Osman Adnan.

Berita berkaitan:

  • Pencemaran di Sungai Selangor ada unsur sabotaj [METROTV]
  • Fobia dengan gangguan bekalan air' [METROTV]
  • Cemarkan Sungai Selangor, empat individu ditahan
  • Pencemaran sungai: RM5,000 ganjaran kepada pemberi maklumat
  • Kerajaan Selangor mohon Pusat bantu isu pencemaran sungai
  • Polis buka kertas siasatan pencemaran bau di Sungai Selangor
  • Tindakan sabotaj mungkin punca pencemaran air [METROTV]
  • Empat LRA henti tugas akibat pencemaran bau
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 4:18 PM