Redzuan Muharam


Petaling Jaya: "Tahun ini saja, lebih kurang sembilan kali gangguan bekalan air berlaku di sini dan sebagai penduduk, saya jadi fobia jika perkara sama berulang," luah Zuraida Junus, seorang daripada penduduk Pangsapuri Petaling Perdana ,Taman Petaling Utama, di sini.

Zuraida, 46 yang juga ibu kepada tiga anak berusia antara 10 hingga 15 tahun itu berkata, masalah bekalan air bukan isu baru di kawasan perumahannya tetapi sangat kerap kali berlaku.

Menurutnya, ada ketikanya tiada notis pemberitahuan awal diberikan.

"Saya tahu mengenai gangguan bekalan air selepas jiran di tingkat tiga yang maklumkan, mujurlah sempat tadah air... Jika tidak entah bagaimana nak mandi dan sebagainya.

"Saya di tinggal di tingkat empat iaitu paling atas jadi bekalan air lazimnya lambat pulih berbanding jiran yang berada di aras bawah.

"Diharap pihak berwajib membantu penduduk di sini kerana tidak tahan rasanya apabila masalah ini kerap berulang," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Jurej Zainuddin, 48 berkata, sejak berpindah ke pangsapuri berkenan lebih sebulan yang lalu, sudah tiga kali dia sekeluarga berdepan masalah bekalan air.

Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.

Meskipun gangguan itu tidak berlaku dalam tempoh lama, namun Jurej kesal apabila masalah sama berulang seperti tiada langkah penyelesaian diambil oleh pihak berwajib.

"Gangguan bekalan air berlaku pada 9.30 malam tadi dan pagi ini bekalan air kembali pulih seperti biasa, saya ada menerima notis pemberitahuan dan sempat menadah dengan mesin basuh saja.

"Namun, kami terpaksa mencatu bekalan air, rasa tertekan juga dengan apa yang berlaku kerana baru saja tinggal di sini tetapi sudah berdepan masalah sebegini.

"Lagipun saya ada masalah semput dan penyakit jantung jadi mahu bekalan air bersih. Saya mohon pihak berkuasa bertindak menyelesaikan masalah yang dikatakan berpunca akibat pencemaran," katanya yang tinggal bersama isteri dan tiga anaknya.

Sementara itu, penduduk Blok L, Khariah Hassim, 69 berkata, gangguan bekalan air di kawasan perumahannya itu berlaku kira-kira dua kali dalam tempoh sebulan.

"Kebiasaannya, jika hari ini tiada air, esok sudah ada tetapi beberapa minggu akan datang berlaku semula masalah yang sama.

"Kadangkala ia tidak dimaklumkan lebih awal dan saya bernasib baik kerana diberitahu jiran sebelah tetapi kasihan kepada penduduk lain yang tinggal di tingkat atas.

ORANG ramai mengambil air dari pili awam yang disediakan ketika tinjauan di Taman Greenwood, Gombak. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ORANG ramai mengambil air dari pili awam yang disediakan ketika tinjauan di Taman Greenwood, Gombak. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

"Ikutkan hati memang geram tetapi apa boleh buat kecuali bersabar dan menganggap ini ujian daripada Allah," katanya.

Gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah dilaporkan berlaku sejak 6 petang semalam berikutan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor seperti diumumkan Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Susulan pencemaran itu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Namun, pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan di Facebook (Fb) rasmi memaklumkan kesemua LRA terbabit sudah beroperasi semula pada 2.40 pagi secara berperingkat selepas bacaan 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut direkodkan.

Justeru, bekalan air dijangka mula diterima oleh pengguna pada 3 petang ini secara berperingkat-peringkat mengikut kedudukan kawasan dalam sistem agihan bekalan air.

Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan sebaik sistem agihan bekalan air distabilkan.

Berita berkaitan:

  • Pencemaran di Sungai Selangor ada unsur sabotaj [METROTV]
  • Cemarkan Sungai Selangor, empat individu ditahan
  • Pencemaran sungai: RM5,000 ganjaran kepada pemberi maklumat
  • Kerajaan Selangor mohon Pusat bantu isu pencemaran sungai
  • Polis buka kertas siasatan pencemaran bau di Sungai Selangor
  • Tindakan sabotaj mungkin punca pencemaran air [METROTV]
  • Empat LRA henti tugas akibat pencemaran bau
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 2:05 PM