Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Pintu utama Stadium Shah Alam, di sini, hari ini, dibanjiri lebih 1,000 penyokong Selangor yang beratur menunggu untuk membeli tiket final Piala Malaysia.

Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan itu mula dipenuhi, sejak kira-kira 7 pagi.

Mereka turut terdiri penyokong wanita dan kanak-kanak.

Difahamkan, pembelian tiket RM50 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak berusia 12 tahun hanya terhad kepada empat tiket seorang.

Bagi penyokong Red Giant dari Kuala Selangor, Faiz Hamdan, 35, dia sudah menunggu pembukaan kaunter di stadium sejak 5.30 pagi.

"Perlawanan kali ini dianggap sengit kerana mengulangi pertembungan final antara juara bertahan, Selangor dan Kedah pada tahun lalu.

"Bagi mengelak terlepas peluang, saya terpaksa minta cuti. Saya tonton siaran langsung di TV saja tahun lalu,” katanya.

72,000 tiket diperuntukkan untuk aksi final Piala Malaysia, pada 30 Oktober ini, yang menyaksikan pertemuan ulangan final 2015 antara Selangor dan Kedah.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) masing masing akan diperuntukkan 30,000 tiket.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 9:43 AM