Oleh Firdaus Hashim


Shah Alam: Kira-kira 3,000 penyokong setia Merah Kuning 'mengamuk' di depan pintu masuk Stadium Shah Alam serta menyerbu ke arah pegawai tiket di sini pagi tadi.

Tindakan itu susulan rasa ketidak puasan hati segelintir penyokong yang mempersoalkan bagaimana tiket yang diperuntukkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu habis dalam masa satu jam selepas kaunter tiket dibuka pada jam 10 pagi.

Bagaimanapun, pegawai tiket berkenaan lari ke pintu masuk stadium tanpa memberikan apa-apa penjelasan kepada kumpulan penyokong itu yang terpaksa berbaris sepanjang 500 meter sejak dari jam 7 pagi.

Berdasarkan tinjauan Arena Metro, rata-rata penyokong Selangor menyuarakan rasa kesal pihak stadium yang turut menjual tiket final itu kepada penyokong Kedah hingga menyebabkan tiket berkenaan habis dengan cepat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundram, sebanyak 20 kaunter tiket dibuka pagi tadi namun disebabkan terlalu ramai yang hadir ia menjadi faktor utama tiket habis dalam masa satu jam.

"Setiap kaunter menjual 1,500 keping tiket namun disebabkan begitu ramai yang datang mendapatkan tiket, ada kaunter yang ditutup awal selepas kehabisan tiket," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 8:05 PM
Suasana di perkarangan stadium yang dibanjiri ribuan penyokong Red Giants bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 menentang Kedah di Stadium Shah Alam. Foto SHAHIMAN SHARIP
Suasana di perkarangan stadium yang dibanjiri ribuan penyokong Red Giants bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 menentang Kedah di Stadium Shah Alam. Foto SHAHIMAN SHARIP