ADISAK sedih selepas penaltinya gagal bawa kejayaan kepada Thailand. FOTO/AGENSI
ADISAK sedih selepas penaltinya gagal bawa kejayaan kepada Thailand. FOTO/AGENSI
Daripada Aziman Rosdi di Bangkok dan Thailand


PENYERANG Thailand Adisak Kraisorn mengakui cukup sedih dengan kegagalan mereka mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2018 selepas terkandas di separuh akhir kepada Malaysia.

Lebih memeritkan buat penjaring terbanyak kejohanan dengan ledakan lapan gol itu, dia mensia-siakan peluang menerusi sepakan penalti di masa kecederaan ketika kedudukan terikat 2-2 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional Rajamangala, semalam.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia juara 2010 mara ke final buat kali keempat menerusi peraturan gol di tempat lawan.

“Saya sangat sedih dan kecewa bila memikirkan apa yang berlaku. Memang ini kesilapan saya,” katanya menahan sebak ketika ditemui pemberita selepas perlawanan semalam.

Tambah menyedihkan buat pemain kelab Muangthong United itu, dia gagal memberikan kemenangan buat penyokong Gajah Perang sempena ulangtahun mendiang Raja Thailand Bhumibol semalam.

Adisak berkata, dia akan mencari semula semangat untuk kembali fokus bagi menghadapi pusingan akhir Kejohanan Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Januari tahun depan.

“Misi kami selepas ini adalah Piala Asia Januari depan, jadi saya dan pemain lain perlu bersedia kerana ia pentas lebih besar,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 11:51 AM