Azlan Muhammad Zain


Cameron Highlands: Tumpuan peringkat ketiga Jelajah Malaysia (JM) hari ini akan tertumpu kepada Mohd Harrif Salleh (gambar) yang cuba merampas jersi Raja Pecut.

Perancangan pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 berkenaan berhasil pada peringkat kedua semalam apabila menjuarai dua zon pecutan di Tanjung Rambutan dan Tambun untuk mengumpul keseluruhan 15 mata.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu hanya ketinggalan lima mata kepada penyarung jersi berkenaan dari Pishgaman Giant Team Rahim Emami dan Arvin Moazemi Goudarzi yang mengumpul 19 mata.

“Saya cuba meraih sebanyak mungkin mata untuk memburu jersi biru hari ini (semalam). Jadi sekarang saya perlu memberikan tumpuan penuh dalam baki tiga peringkat.

“Saya akan cuba meraih kemenangan di zon pecutan selain mengintai peluang untuk sekurang-kurangnya menaiki podium jika perlumbaan berakhir dalam kelompok besar,” kata Harrif.

Jelas Harrif, dia tidak melihat Rahim sebagai pencabar utama gelaran Raja Pecut kerana berkeyakinan mampu mengatasi pelumba Iran itu.

“Cuma saya perlu berwaspada dengan pelumba KSPO Seo Joon Yong dan Ryan Macanally dari Pegasus Continental yang turut mahukan jersi ini,” tambahnya.

Rakan sepasukan Harrif, Nur Amirul Fakhruddin Marzuki masih mengekalkan jersi merah selaku pelumba tempatan terbaik dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13 semalam.

Peringkat ketiga JM 2016 akan berlangsung di Kelantan dari Gua Musang ke Pasir Puteh dengan jarak 169.1 kilometer yang menawarkan tiga zon pecutan dan tiga zon pendakian kategori empat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 6:15 AM