Oleh Hajahfarhana Tarmudi

hajahfarhana@media­prima.com.my

Penampilan anggun dan menepati tema majlis menjadi idaman setiap wanita untuk bergaya menarik. Namun, ada kalanya mereka silap membuat pilihan fabrik dan rona busana mengikut kesesuaian tema majlis.

Pengurus D'Busana Ma­war Biru (Mawar Biru Collection) Nurul Aini Ahmad Shamsul Maarif berkata, pilihan busana yang sesuai de­ngan personaliti dan tema sangat penting bagi menonjolkan penampilan yang ang­gun.

"Ketika memilih busana untuk menghadiri majlis makan malam mahupun bertunang, kita perlu tahu waktu majlis sama ada siang atau malam.

"Ini kerana pilihan busana yang tepat dapat memper­sembahkan tarikan dimiliki si pemakai. Jika majlis pada waktu siang, sebaiknya pilih busana yang diperbuat daripada fabrik dengan perincian atau corak sarat.

"Ia mampu menambah seri pada busana selain dapat menonjolkan penampilan si pemakai. Namun, pilihan busana rona lembut dengan tambahan perhiasan menonjol lebih sesuai digayakan pada majlis siang.

"Sebaliknya, pilih busana persalinan dengan rona terang dan perincian sederhana jika majlis pada waktu malam bagi memastikan penampilan tampak anggun," katanya.

Tambahnya, padanan busana yang sarat dengan hiasan perlu digayakan bersama tudung sifon lembut polos. Penampilan tampak sempurna walaupun tanpa me­ngenakan sebarang aksesori.

Sesekali gayakan skirt kembang daripada material organza ketika menghadiri majlis makan malam atau perkahwinan yang bertemakan konsep sederhana.

Gandingkan padanan skirt kembang yang di­ilhamkan oleh filem animasi Disney, Frozen bersama top dan blazer serta selendang rona coklat gelap.

Jika mahu kelihatan me­nyerlah, gayakan baju kurung potongan moden rona biru bersama tudung sifon dua lapis tanpa corak. Tudung rona merah jambu terang menjadikan penampilan tampak lebih berseri dan ceria.

Penggunaan material sifon berat dan renda perada pula satu kombinasi menarik, menjadikan lang­kah tampak lebih anggun de­ngan alunan kain me­ngikut leng­gok badan.

Tambahan elemen batu swarovski pada bahagian baju menaikkan seri busana terutama ketika majlis bertunang atau makan malam tema glamor.

Baju kurung berpoto­ngan moden rona biru nila daripada kain kapas lembut juga boleh dijadikan pilihan ketika menghadiri majlis jemputan perkahwinan.

Hiasan manik mutiara dan tampalan renda motif bunga timbul di bahagian hujung baju menjadikan penampilan tampak lebih berseri walaupun rekaan­nya sederhana.

Potongan kain sedikit kembang dan padanan selendang separuh bulan bercorak sesuai digayakan bersama busana polos itu.

Pelbagai koleksi terkini untuk majlis makan malam, betunang mahupun bersantai boleh didapati di butik ini di Jalan Pauh Kijang 3/KU3, Batu Belah, Klang atau Jalan Iskandar, Bukit Kapar.

Koleksi ini juga boleh ­dilihat melalui Insta­gram, uyunaynee atau Face­book, D'busana mawar biru. Butik yang dibuka pada Januari 2013 ini turut menjadi agen tudung untuk jenama Puteri Dewi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:00 AM