PILIHAN songket  untuk raja sehari masih mendapat tempat di hati penggemarnya.
PILIHAN songket untuk raja sehari masih mendapat tempat di hati penggemarnya.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Setiap bakal pengantin pasti mengimpikan busana raja sehari mereka paling indah dan mempesonakan yang pernah dipakai seumur hidup.

Renda atau satin, moden atau tradisional, ringkas atau terperinci, gaun pengantin mempunyai nilai tersendiri buat setiap mempelai.

Meskipun dunia fesyen hari ini semakin sarat dengan pembaharuan dan transformasi, sukar menafikan tarikan fabrik tradisional seperti songket yang tidak pernah lapuk ditelan zaman.

Malah suntikan elemen moden menjadikan rekaan ini sentiasa menjadi pilihan bakal pengantin untuk digayakan pada hari bersejarah mereka.

Rekaan persalinan yang diperbuat daripada fabrik mewah seperti songket dan broked menjadi permintaan kebanyakan bakal pengantin yang gemarkan konsep kontemporari-klasik.

Pengasas Butik Pengantin Demelza, Noraiha Rais berkata, meskipun disajikan dengan pelbagai rekaan moden, masih ramai pengantin gemarkan busana menggunakan fabrik songket dan broked untuk digayakan pada majlis perkahwinan mereka.

“Ia seperti kembali ke zaman dulu. Namun, perkara yang membezakannya dari segi rekaan persalinan yang kini sudah diubah bersama kombinasi lakaran klasik dan moden pada busana.

“Kebiasaannya, fabrik songket digabungkan bersama sifon untuk menonjolkan rekaan kontemporari. Misalnya, gabungan fabrik sifon dan songket yang bermotifkan bunga timbul tampak menarik digandingkan bersama potongan gaun kembang duyung.

“Konsep moden dapat dilihat daripada penambahan renda dan elemen perincian manik, batu atau bunga pada persalinan untuk menjadikan rekaan tampak lebih anggun,” katanya.

Rekaan persalinan berpotongan peplum, tradisional ataupun gaun labuh tampak menarik apabila direka menggunakan songket dengan tambahan perincian dan material lain bagi menyerikan penampilan.

Ada yang mahukan persalinan ditempah khas dan tidak kurang juga sekadar menyewanya. Semua itu boleh dipilih oleh pengantin mengikut kemampuan belanjawan masing-masing kerana setiap rekaan akan dijahit sendiri oleh tukang jahit khusus di butik berkenaan.

Disebabkan fabrik songket lazimnya mempunyai corak yang pelbagai dan berwarna terang, bakal pengantin (lelaki dan perempuan) akan dibantu bagi mendapatkan rekaan yang sesuai dengan rona kulit, saiz badan dan ketinggian bagi mengelakkan penampilan tampak cacat di atas pelamin.

“Biasanya kami berbincang terlebih dulu mengenai rekaan diinginkan pelanggan. Pelanggan boleh membuat temu janji dan berjumpa pereka kami di butik di Saujana Rawang, Selangor untuk memastikan pelanggan mendapat perkhidmatan terbaik dan memuaskan.

“Selain itu, pemilihan warna juga sangat penting agar padanan rona yang dipilih senada dengan ton kulit untuk penampilan yang sempurna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 2:22 PM