GAUN konsep moden turut menarik perhatian ramai bakal pengantin.
GAUN konsep moden turut menarik perhatian ramai bakal pengantin.
REKAAN kontemporari gabungan fabrik songket dan sifon menjadi trend terkini.
REKAAN kontemporari gabungan fabrik songket dan sifon menjadi trend terkini.
TAMPIL anggun di atas pelamin dengan pilihan rekaan menarik.
TAMPIL anggun di atas pelamin dengan pilihan rekaan menarik.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Fabrik songket terus menjadi trend bagi sesetengah ratu dan raja sehari masa kini kerana mahu mengekalkan ciri tradisional pada kemeriahan majlis resepsi.

Lebih menarik, rekaan busana pengantin menggunakan fabrik songket ini diberi nafas baru bagi memenuhi cita rasa si pemakai mengikut trend terkini dengan menggabungkan gaya tradisional dan moden sebelum diubah kepada penampilan kontemporari.

Menurut pemilik butik andaman pengantin JY d’Glam, Noryanti Zulkipli, semakin ramai bakal pengantin tanpa mengira usia yang memilih persalinan menggunakan fabrik songket pada hari bersejarah mereka.

“Ia seperti kembali kepada zaman dulu. Namun, perkara yang membezakannya ialah dari segi rekaan persalinan yang kini sudah diubah bersama kombinasi lakaran klasik dan moden pada busana.

“Kebiasaannya, fabrik songket digabung bersama sifon untuk menonjolkan rekaan kontemporari. Misalnya, gabungan fabrik sifon dan songket yang bermotifkan bunga timbul tampak menarik digandingkan bersama potongan gaun kembang di bahagian bawah.

“Konsep moden dapat dilihat daripada penambahan fabrik renda dan elemen perincian manik, batu atau bunga pada persalinan untuk menjadikan rekaan tampak lebih anggun,” katanya.

Ramai memilih persalinan berasaskan songket di majlis malam berinai, namun tidak kurang juga yang mahu menggayakannya ketika persandingan kerana keunikan nilai fabrik berkenaan yang dipandang tinggi.

Selain itu, ada juga gaun yang mempunyai motif meleret lebih sesuai dipakai jika majlis berlangsung di dalam bangunan sama ada dewan atau hotel berbanding di rumah yang kebanyakannya membuat pelamin di bawah khemah.

Tidak kira sama ada rekaan persalinan yang digemari berkonsepkan tradisional, moden mahupun kontemporari asalkan ia sesuai dengan tempat dan tema majlis sudah cukup memadai.

Untuk majlis di tempat tertutup seperti di rumah atau dewan, apa saja jenis konsep dan fabrik sesuai dipakai kerana tidak perlu risau untuk menghadapi perubahan cuaca yang tidak menentu.

Berbanding majlis di kawasan terbuka, setiap bakal pengantin perlu faham mengenai ciri-ciri fabrik dan rekaan yang akan digayakan.

Sebaiknya, pilih busana persalinan yang menggunakan fabrik lembut seperti sifon selain rona pastel untuk keselesaan apatah lagi jika ia perlu dipakai seharian.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai koleksi persalinan pengantin dan solekan, kunjungi butik berkenaan yang terletak di Jalan Raja Nong 1/KS2, Taman Raja Nong, Klang atau layari jy_dglam (Instagram).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:33 AM