RONA hijau zamrud menjadi pilihan.
RONA hijau zamrud menjadi pilihan.
INTAN melayan pelanggan dan berkongsi pendapat mengenai busana perkahwinan.
INTAN melayan pelanggan dan berkongsi pendapat mengenai busana perkahwinan.
INTAN berpengalaman 12 tahun dalam rundingan perkahwinan.
INTAN berpengalaman 12 tahun dalam rundingan perkahwinan.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Berpengalaman 12 tahun dalam bidang rundingan perkahwinan dengan menyediakan busana, pelamin, khidmat katering, solekan dan hantaran menjadi sesuatu yang cukup berharga bagi pemilik butik D’Intan Collection Wedding Planner apabila dia menggunakan pengalamannya ini untuk menghasilkan busana berdasarkan cita rasa terkini mempelai.

Butik di Batu Caves Selangor ini menyediakan kepelbagaian koleksi busana pengantin daripada beraneka jenis fabrik, potongan dan warna.

Jelas pemilik D’Intan Collection Intan Hassan, menyedari pengetahuan dan keinginan mempelai sentiasa berubah, dia menyediakan koleksi yang dapat menampilkan mereka sebagai raja sehari yang anggun dan menawan menerusi sentuhan busana berpotongan moden.

Antara yang mencuri tumpuan ialah gaun berpotongan puteri menggunakan fabrik songket dengan kemasan sifon pada bahagian tertentu. Gabungan kedua-dua fabrik ini juga sesuai untuk semua acara sama ada berkonsepkan dalam taman atau majlis di dewan.

Lebih menyerlah, tampalan bunga tiga dimensi mencetuskan unsur keindahan, apatah lagi sekiranya majlis berkonsepkan moden kontemporari. Tanpa perlu batu permata sarat dengan perincian, bunga tampalan ini sudah cukup menjadikan busana nampak mewah.

“Walaupun fabrik ini dikatakan mempunyai nilai tradisi yang tinggi, kini mempelai semakin bijak menentukan apa yang mereka inginkan. Sebab itu gabungan fabrik akan menentukan keindahannya. Begitu juga potongan duyung atau puteri yang menjadikan mempelai tampil anggun. Untuk mereka yang inginkan gaya klasik berbaju kebaya, saya tetap menyediakannya,” katanya.

Sebagai pereka, Intan tidak hanya mengikut pendapat pelanggan, sebaliknya dia berbincang mengenai rekaan bersesuaian dengan bentuk badan mereka. Mempelai berbadan langsing boleh mengenakan apa saja potongan berbeza, bagi mereka yang berbadan besar atau comel perlu memilih jenis fabrik yang kurang melekat serta potongan dua helai seperti kebaya peplum yang mampu menyembunyi kekurangan tubuh dan menampakkan tubuh lebih besar. Mereka juga boleh memakai songket, tetapi perlu memilih rekaan sesuai dengan tubuh mereka.

“Untuk songket saya biasanya menghasilkan potongan puteri dengan gabungan sifon atau net. Potongan sebegini menampakkan tubuh lebih langsing dan beralun cantik apabila digayakan. Bagi mempelai comel, biasanya saya menghasilkan rekaan peplum agar mereka kelihatan lebih kurus dan tinggi,” katanya.

Selain menggunakan fabrik songket, renda, sifon dan net antara material yang sesuai untuk majlis raja sehari. Renda bersifat lembut dan mempunyai perincian tersendiri tanpa perlu manik dan batu permata sarat. Busana berasaskan renda sudah cukup menyerlah, apatah lagi apabila dipadankan dengan sifon. Bagi mempelai bertubuh langsing, fabrik sifon sesuai digayakan kerana menampakkan mereka lebih langsing dan menyerlah.

Untuk pengantin bertudung, biasanya tudung daripada fabrik sifon kerana ia sesuai digayakan, lembut dan tampak menawan. Bagi menampakkan wajah lebih bujur, anak tudung bersengkuap atau tidak melekat digalakkan dipakai bagi memberikan imej bujur kepada si pemakai.

“Rona dan jenis tudung semuanya disediakan mengikut warna baju dan sesuai dengan bentuk wajah pengantin. Saya amat mementingkan penampilan mereka kerana ia akan menentukan keanggunan ketika bersanding nanti,” katanya.

Mengenai pemilihan warna, Intan tidak menjurus kepada rona tertentu, sebaliknya menyediakan semua warna bagi memberi lebih pilihan kepada mempelai memilih warna kegemaran mereka. Tetapi, untuk busana dia sering menasihatkan mereka supaya memilih rona sesuai dengan penampilan atau warna yang sering digayakan.

“Ada sesetengah mempelai teringin mengenakan warna berbeza atau jarang dipakai, tetapi sebenarnya ia akan menyebabkan mereka sukar ‘membawakannya’ atau kelihatan janggal. Warna memainkan peranan penting kerana ia akan mempengaruhi penampilan terutama ketika majlis persandingan,” katanya.

Untuk songket, rona gelap seperti hijau zamrud, hitam, coklat, biru, kuning dan merah antara rona memikat dan sesuai digayakan manakala gaun berpotongan moden dengan rona pastel menjadikan mempelai bertambah anggun dan memikat.

Bagi pembaca yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai D’Intan Collection boleh melayari Facebook Butik Pengantin Intan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 1:11 AM