Roslen Fadzil di Cannes dan Perancis


HARI kedua Pameran Perdagangan Audio Visual Dunia (MIPCOM) 2016 memperlihatkan perkembangan positif industri kreatif Malaysia apabila mencatat urusniaga mencecah hampir RM17 juta (AS$4 juta).

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Mohid Mohamed, berkata urusniaga berkenaan membabitkan syarikat produksi Global Station Sdn Bhd, Primeworks Studios, Animasia Studio dan Scubazoo yang memeterai perjanjian dengan syarikat produksi, pengedar serta stesen TV luar negara.

"Kerjasama ini berupa pembelian format program drama bersiri dari luar negara, projek usahasama serta pengedaran bahan produksi Malaysia ke peringkat dunia.

"Bagi saya, penerbitan seumpama ini sangat baik kerana ia membuka ruang kepada produser dan syarikat produksi dari Malaysia untuk melangkah ke depan dan memperoleh keuntungan, " kata Mohid kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian dalam majlis khas di Pavilion Malaysia bertempat di Palais des Festival yang menjadi lokasi utama MIPCOM 2016.

Hadir sama Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, Datuk Mohd Mahyidin Mustakim, Datin Zaitun Muhd Jiwa, Datuk Khairul Anwar Salleh, Datuk Norman Abdul Halim dan ramai lagi produser.

Kerjasama cukup bermakna itu membabitkan Primeworks Studios dengan Nippon TV dan Sumitomo Corporation dari Jepun selain Portfolio Entertainment (Kanada).

Global Station pula memeterai perjanjian dengan Canal 13 (Chile), Mediaset Distribution (Itali) dan Comarex (Mexico).

Bagi Animasia Studio, usahasama dijalinkan bersama Strika Entertainment (Afrika Selatan) manakala Scubazoo pula tampil bekerjasama dengan WildBear Entertainment (Australia).

MIPCOM adalah medan pasaran produk kreatif seperti drama, animasi, dokumentari dan produk digital terbesar di dunia.

Ia disertai kira-kira dua ribu pelabur, pembekal kandungan kreatif dan wakil stesen penyiaran dari lebih 100 negara, 17-20 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 8:20 AM