DARI kiri Marcel, Martha, Marina, Khairul dan Zaiton di MIPCOM, Perancis.
DARI kiri Marcel, Martha, Marina, Khairul dan Zaiton di MIPCOM, Perancis.

Syarikat produksi Global Station Sdn Bhd dengan kerjasama stesen penyiaran Astro mencatat satu lagi sejarah apabila melancarkan drama rantaian terbaru, Papa Ricky di sini, semalam.

Drama arahan Harris Fadzilah lakonan Fadlan Hazim, Siti Elizad dan Nur Qistina Raisah yang sedang dalam pembikinan itu bakal dipasarkan ke peringkat global oleh syarikat pengedar Comarex yang beribu pejabat di Mexico. Sebelum ini kerjasama yang sama terjalin menerusi drama bersiri terbitan Global Station iaitu Memori Cinta Suraya dan Lara Aishah.

Sidang media itu diadakan di Palais des Festival, tempat berlangsungnya Pameran Perdagangan Audio Visual Dunia (MIPCOM) 2016 yang bermula semalam hingga 20 Oktober ini.

Penerbit Global Station, Datin Zaiton Muhd Jiwa berkata, dia terharu kerana kerjasama sebegini berterusan antara Global Station dan Astro serta pemasaran oleh pihak Comarex.

“Global Station melabur sebanyak 30 peratus manakala selebihnya daripda Astro. Sebelum ini Memori Cinta Suraya dan Lara Aishah berjaya dipasarkan ke Indonesia, Pakistan, Kazakhstan dan negara-negara Asia Tengah.

“Inilah manfaat yang kami peroleh apabila menyertai MIPCOM sejak 18 tahun lalu kerana kami berjaya membina rangkaian perhubungan atau ‘contacts’ dengan syarikat produksi produser serta stesen TV luar negara,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh; Naib Presiden Perniagaan Antarabangsa Canal 13 Chile, Marina Del Canto Vergara serta wakil Comarex, Marcel Vinay dan Martha Contreras.

Sementara itu, Khairul berkata, Astro Prima dijangka menyiarkan siri Papa Ricky sekitar Januari depan selepas siri Lara Aishah lakonan Fasha Sandha berakhir.

“Kerjasama ini diyakini memberikan hasil yang positif berdasarkan sambutan baik penonton terhadap Memori Cinta Suraya dan Lara Aishah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 7:15 AM