Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Amin Jalil dan Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: “Kemenangan ini membakar semangat saya untuk terus beraksi cemerlang dan mengekalkan kejuaraan pada sirkit terakhir di Johor nanti,” kata Chipmart Prasert, 46, yang dinobatkan selaku juara kategori Lelaki Senior Master kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix Sirkit 2, di Lukut dengan catatan masa 1 jam 44 minit 50 saat, kelmarin.

Pelumba yang mewakili Thailand Allstar itu mengetepikan pencabar terdekat dari SBS-Giant Tan Chee Yong yang merekodkan masa 1:45:0s.

Ketika ditemui, Prasert mengaku dia tidak menyangka mampu menewaskan Chee Yong kerana pencabarnya itu sentiasa memberikan saingan sengit di sepanjang perlumbaan termasuk ketika sirkit pertama di Kulim, Kedah, Julai lalu.

Menurutnya, biarpun Chee Yong sentiasa berada di depan tetapi usahanya untuk memintas lawannya itu berjaya dilakukan ketika mereka sudah menghampiri ke garisan penamat.

“Memang sebaik tiba di sini, saya bertekad untuk menewaskan Tan selepas saya tewas di tangannya pada sirkit pertama di Kulim dan impian itu akhirnya tercapai juga.

“Saya sangat puas hati dan gembira di atas kejayaan ini,” katanya pelumba profesional itu sebaik tiba ke garisan penamat.

Prasert yang sudah terbabit dalam perlumbaan mountain bike sejak lebih lima tahun lalu itu mengaku cabaran selepas ini terutama pada sirkit akhir pasti lebih sukar dengan setiap pelumba bakal memperaga aksi lebih mantap.

Katanya, dia akan membuat persiapan lebih rapi dalam tempoh berkenaan untuk memastikan kemenangan yang dicapai di Lukut dapat dipertahankan di Johor nanti.

“Saya pasti akan turun di Johor dengan persembahan lebih baik kerana Tan dan peserta lain sudah pasti akan memberikan cabaran lebih sengit bagi memburu kejuaraan serta hadiah yang ditawarkan.

“Saya akan berusaha lebih keras kerana mahu terus dinobatkan selaku juara kejohanan selepas tahun lalu gagal melakukannya,” katanya.

Sementara itu pemenang ketiga kategori berkenaan, Mohd Razani Hussin yang mencatatkan 1:45:49s, akur dengan kehebatan kedua-dua pelumba terbabit.

Bekas pelumba lasak kebangsaan itu berkata, dia tetap puas hati dengan pencapaiannya kerana masih mampu memberikan cabaran kepada pelumba lain.

“Saya pun tidak menyangka mampu meraih tempat ketiga kerana cabaran begitu sengit, namun pengalaman banyak membantu dalam mengekalkan kelajuan kayuhan biarpun berhadapan trek yang berbeza dan mencabar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 5:06 AM
 PESERTA  melalui ladang sawit di Port Dickson.
PESERTA melalui ladang sawit di Port Dickson.