Iklan menjual bayi yang sedang disiasat polis.
Iklan menjual bayi yang sedang disiasat polis.
Agensi

Hamburg, Jerman: Polis sedang menyiasat sama ada iklan menjual bayi berusia 40 hari melalui laman web lelong di eBay dengan harga 5,000 euro (RM23,200), palsu atau tidak.

Iklan itu bagaimanapun, ditarik balik oleh eBay selepas 30 minit disiarkan namun ia sudah menjadi viral di media sosial dan forum Internet.

Menurut iklan berkenaan, bayi diberi nama Maria itu tinggal di bandar ini di North Rhine-Westphalia, barat Jerman.

Ia disertakan beberapa gambar bayi berkenaan dengan tajuk: “Bayi 40 hari bernama Maria... untuk dijual.”

Pengguna Internet mengecam iklan itu dan melaporkannya kepada eBay.

Jurucakap eBay, Pierre Du Bois berkata, syarikat berkenaan menarik balik iklan itu dan membuat laporan polis sebaik menyedarinya.

Menurutnya eBay memang kerap menerima iklan palsu dan cubaan menipu pengguna.

“Kami menerima banyak aduan daripada pengguna mengenai iklan terbabit dan serta-merta mengeluarkannya. Bagi kes seperti ini, kami akan menyediakan semua maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 10:07 PM