DANIEL M. FOTO EPA-EFE
DANIEL M. FOTO EPA-EFE
Reuters

Frankfurt: Seorang lelaki Switzerland mula dibicarakan semalam atas dakwaan merisik lembaga hasil dalam negeri Jerman untuk mendapat maklumat bagaimana ia memperoleh butiran akaun bank Swiss rahsia oleh rakyat Jerman bagi mengelak membayar cukai.

Pendakwa Jerman mengesyaki lelaki yang cuma dikenali sebagai Daniel M, 5, merisik terhadap lembaga hasil dalam negeri Rhine-Westphalia Utara (NRW), Jerman, serta kakitangannya selama hampir empat tahun sehingga Februari 2015.

Dia ditahan April lalu kerana disyaki cuba mendapatkan maklumat cara negeri Jerman memperoleh cakera padat (CD) mengandungi butiran akaun bank dipegang secara rahsia di Switzerland oleh rakyatnya yang mahu mengelak membayar cukai.

Kes itu mencetuskan kemarahan Jerman, tetapi pihak berkuasa Switzerland mempertahankan usaha mereka mematahkan usaha mencuri rahsia perniagaan mereka.

Pejabat pendakwa persekutuan Jerman berkata, tertuduh turut menghimpunkan maklumat peribadi mengenai penyiasat percukaian negeri supaya pihak berkuasa Switzerland boleh mendakwa mereka yang terbabit dalam pembelian CD maklumat cukai.

Menurutnya, lelaki itu menerima hampir 13,000 euro (RM65,000) hasil tugasannya itu dengan 10,000 euro (RM49,600) diserahkan kepada firma keselamatan Jerman yang membantunya mendapatkan maklumat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 7:58 AM