JIN Wei tewas di tangan pemain Jepun.
JIN Wei tewas di tangan pemain Jepun.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penggunaan kiraan format baru 11 mata bagi setiap set di Masters Taiwan nyata menjejaskan prestasi permainan barisan pemain negara sehingga ada yang terkandas seawal pusingan pertama.

Antaranya adalah pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei yang juga pilihan keempat kejohanan. Dia tewas mudah 7-11, 8-11, 4-11 kepada pemain bukan pilihan dari Jepun Saena Kawakami.

Turut terkandas, Soniia Cheah yang tewas kepada wakil Jepun Yukino Nakai 7-11, 6-11, 8-11.

Seorang lagi pemain wanita negara Tee Jing Yi juga hampir mengikut jejak langkah Jin Wei dan Soniia sebelum bangkit mencatat kemenangan 9-11, 15-13, 11-7, 9-11, 11-5 ke atas pemain tuan rumah Lin Hsiang Ti.

“Format 11 mata membolehkan semua pemain berpeluang untuk menang. Bagi pemain pilihan, ia akan menjadikan anda berasa tertekan.

“Dengan format ini, setiap pemain perlu menyesuaikan diri dengan cepat di atas gelanggang. Jika tidak, anda akan tewas dengan mudah.

“Saya perlu lebih fokus dan tidak boleh membuat kesilapan mudah,” kata Jing Yi yang akan bertemu pemain Singapura Yeo Jia Min di pusingan kedua kejohanan berstatus Grand Prix (GP) Emas itu, hari ini.

Antara yang turut mara adalah Ho Yen Mei yang mengetepikan pilihan ketujuh dari Indonesia Fitriani 11-9, 15-13, 6-11, 11-6.

Sementara itu, jurulatih perseorangan negara Wong Tat Meng berharap barisan pemain wanita negara dapat mempamerkan aksi lebih baik di pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 11:00 AM