JANGAN biarkan anak leka bermain telefon pintar.
JANGAN biarkan anak leka bermain telefon pintar.
BAHAN pornografi berbahaya kepada minda anak anda.
BAHAN pornografi berbahaya kepada minda anak anda.
IBU BAPA perlu memantau penggunaan telefon pintar anak.
IBU BAPA perlu memantau penggunaan telefon pintar anak.
Siti Zarinah Sahib

Kajian menunjukkan 70 peratus kanak-kanak lelaki berusia 12 hingga 15 tahun pernah melayari laman sesawang lucah. Malah ada yang pernah memuat turun gambar lucah ke telefon bimbit dan menghantar gambar bogel kepada rakan.

Mungkin ramai ibu bapa tidak pernah terfikir tahap pendedahan bahan pornografi atau lucah kanak-kanak pada zaman ini semakin membimbangkan.

Ketika mereka bermain permainan video, dengan tidak sengaja klik ke laman pornografi. Lama-kelamaan ketidaksengajaan ini bertukar menjadi ingin tahu, kemudian kebiasaan dan seterusnya ketagihan.

Tidak hairan mengapa keinginan seksual kanak-kanak zaman sekarang wujud lebih awal daripada kanak-kanak generasi sebelumnya. Penyelidik juga mendapati purata umur kanak-kanak dengan pendedahan kepada bahan pornografi bermula seawal lapan tahun.

Melihat kepada keputusan penyelidikan, ia semakin menurun ke umur yang semakin muda. Sebelum zaman Internet, purata umur pendedahan bahan pornografi ialah 11 hingga 13 tahun.

Menurut pengasas Islamic Parenting Network Lina Karim, seorang ibu yang juga bekas peserta kursusnya mempunyai inspirasi menjadikan anaknya penghafaz al-Quran.

“Selepas mempelajari kaedah yang saya ajarkan kepadanya dalam seminar, Mengajar Anak Menghafaz al-Quran Kaedah Darwish­Darwisya, ibu ini terus mempraktikkannya dengan bersungguh-sungguh. Anaknya yang ketika itu berumur empat tahun mempunyai kemajuan yang sangat memberangsangkan dalam tempoh singkat.

“Kaedah yang saya ajarkan antaranya mengadakan sistem hadiah atau memberi ganjaran selepas anak itu mengaji dengan baik. Ganjaran ini boleh berupa apa saja yang mereka kehendaki asalkan ia tidak membahayakan kesihatan mental dan fizikal mereka. Daripada sebungkus coklat hinggalah masa bermain permainan video, semuanya boleh dijadikan ganjaran mengaji asalkan sesuatu yang anak itu sangat kehendaki,” katanya.

Berdasarkan cerita ibu terbabit, pada umur anaknya lima tahun, yang menghairankan apabila hafalan al-Quran semakin merosot. Kelihatan anaknya semakin mudah lupa hafalan lama dan sukar pula untuk menghafal yang baru. Pada umur ini, anaknya mula menukar ganjaran makanan kepada masa bermain permainan video.

Setiap kali selepas mengaji, anaknya terus mencapai tablet ibunya dan duduk selesa di atas sofa melayani permainan video yang disukainya. Itulah yang berlaku setiap hari selepas mengaji sejak anaknya mula terpikat dengan pelbagai permainan video yang tersedia di aplikasi yang dimuat turun di tablet.

Suatu hari, tanpa sengaja ketika anaknya leka bermain, ibu ini terlihat skrin tablet anaknya itu. Alangkah terperanjatnya apabila melihat bukan game yang dimainkan anaknya tetapi paparan aksi lucah yang ditonton dengan asyik.

“Mengucap panjang ibunya sebelum merampas tablet daripada anaknya. Setelah marah dan kecewanya reda, dia terus menghubungi saya. Tahulah dia antara punca anaknya semakin sukar menghafaz kerana maksiat mata yang dikumpulkan setiap hari. Mungkin bagi anak ini, dia ke laman itu pada mulanya kerana klik dengan tidak sengaja. Bahayanya perkara yang pada mulanya tidak sengaja ini bertukar kepada ketagihan walaupun pada kanak-kanak,” jelas Lina.

Pornografi dan kesannya pada otak

Menurut Lina, melihat bahan pornografi sama kesannya dengan pengambilan dadah. Kedua-duanya merembeskan dopamin dengan jumlah yang banyak. Di dalam otak manusia ada satu neurotransmitter penting yang dipanggil dopamin.

Ia bertanggungjawab dalam mengeluarkan pergerakan sukarela, keseronokan, motivasi, ganjaran dan pembelajaran. Dopamin juga dikaitkan dengan kanak-kanak ADHD (masalah pembelajaran), penurunan kognitif disebabkan oleh penuaan dan kemurungan.

“Jika sistem dopaminergik melepaskan jumlah dopamin yang tinggi, ia akan menyebabkan ketagihan. Ketika menonton bahan pronografi, dopamin boleh dikeluarkan semasa menontonnya. Ini kerana secara semula jadi, waktu dopamin dirembeskan ialah sebelum dan juga semasa detik kenikmatan sesuatu aktiviti (menonton pronografi). Ia berhenti dirembeskan selepas aktiviti itu,” katanya.

Apabila dilepaskan secara berulang, dopamin menguat dan mengukuhkan sambungan baru. Hasilnya, ingatan jangka pendek kanak-kanak menjadi ingatan jangka panjang. Jika dia boleh melupakan imej lucah yang dipaparkan di skrin setelah tablet mereka dimatikan, belum tentu esok lusa semudah itu untuk melupakannya jika ia dilakukan secara berulang.

Dopamin yang dirembeskan secara berulang akan memastikan keseronokan yang dialami dipindahkan ke ingatan jangka panjang. Jika ini berlaku, mereka boleh terperangkap dalam mod ulangan walaupun skrin tablet dimatikan.

“Dopamin yang tinggi ini ibarat dadah yang mengkhayalkan. Ini menyebabkan aktiviti yang kurang pengeluaran dopamin tidak menyeronokkan seperti ke sekolah untuk belajar atau mengaji al-Quran.

“Tindakan kimia dalam otak yang bertindak balas dengan bahan pornografi ini agak membimbangkan. Seseorang itu sama ada dewasa atau kanak-kanak, akan terjebak lebih ke alam fantasi daripada realiti. Ini menyebabkan segala kerja dan pembelajaran sudah tidak dihiraukan. Jika ia satu kewajipan yang dipaksa, ia bukan lagi satu kepentingan dalam hidup individu. Kepentingan mereka berubah kepada menjadikan alam fantasi satu realiti,” katanya.

Tidak hairan kejadian aksi pelik di tadika semakin meningkat. Lina berkata, dia pernah bertemu dengan guru tadika yang mengakui seorang murid lelaki di kelasnya memaksa seorang murid perempuan berbaring dan menindihnya. Apabila ditanya, dia menjawab inilah yang selalu dlihatnya.

Masalah ini sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan. Ia membabitkan pelapis generasi akan datang. Bagaimana generasi akan datang akan kuat jika minda mereka dilatih maksiat? Bagaimana matlamat untuk melahirkan generasi ulul albab yang diimpikan lahir pada zaman ini jika ibu bapa tidak menghalang penyakit ini daripada membesar dan merebak?

Kata Saidina Umar r.a, “Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pemuda pada hari ini.”

Ingatlah nasihat Imam As Syahid Hasan Al Banna: “Pemulihan suatu umat tidak akan wujud kecuali dengan pemulihan individu, yang dalam hal ini ialah pemuda. Perbaikan individu (pemuda) tidak akan berjaya kecuali dengan perbaikan jiwa. Perbaikan jiwa tidak akan berhasil kecuali dengan pendidikan (tarbiah) dan pembinaan. Maksud pembinaan adalah membangun dan mengisi akal dengan ilmu yang berguna, mengarahkan hati agar sentiasa muraqabah (menjaga ingatan hati kepada Allah) dan sentiasa berdoa serta komited dalam proses pertarbiahan jiwa dan sentiasa muhasabah diri.”

Kesan pornografi dan hafazan al-Quran

Lina yang juga ibu kepada dua cahaya mata yang juga menghafaz al-Quran mengakui, kitab suci itu sebenarnya mudah dihafal. Ia lebih mudah bagi kanak-kanak menghafalnya berbanding dewasa. Antara faktor yang menyebabkan ia berlaku sedemikian kerana otak kanak-kanak masih suci dan tiada maksiat. Tidak banyak berfikir hal lain seperti orang dewasa.

“Namun, kanak-kanak zaman ini sudah tidak lagi seperti yang kita fikirkan dengan adanya pelbagai gajet dan pihak yang bertungkus-lumus cuba menggoda mereka melalui Internet. Antara syarat penting sebelum menghafal al-Quran ialah menjauhi maksiat dan dosa.

“Hati yang penuh kemaksiatan dan sibuk dengan dunia, tidak ada baginya tempat cahaya al-Quran. Maksiat penghalang dalam menghafal, mengulang dan mentadabbur (memahami secara mendalam) al-Quran. Ia memberi ruang kepada godaan syaitan hingga dengan mudah mereka dapat memalingkan seseorang daripada mengingati Allah,” katanya.

Tip ibu bapa elak anak terjebak pornografi:

1. Elak meletakkan komputer di dalam bilik tidur anak anda atau membolehkan mereka mengakses Internet, tablet dan telefon pintar. Apa saja yang mereka mahu lakukan di dalam bilik perlulah di bawah pemerhatian anda.

2. Bina jaringan keselamatan. Walaupun kanak-kanak berasakan bebas meneroka dunia di sekeliling, mereka juga ingin rasa selamat. Jadi jangan takut untuk menetapkan sempadan dan biarkan anak anda tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika melayari Internet.

3. Jangan beri anak anda telefon pintar. Jika anda perlu menghubungi mereka, beri mereka telefon yang bukannya telefon pintar atau tablet yang membolehkan mereka mengakses Internet.

4. Letakkan penapis kawalan Internet. Ini cara paling mudah untuk melindungi anak anda terhadap bahan lucah yang terkandung dalam laman sesawang. Secara peribadi, saya mencadangkan anda memasang penapis modem terbaik dengan mendaftar menerusi OpenDNS, syarikat penapis Internet atau layari https://www.opendns.comsetupguide/?url=familyshield.

Dengan cara ini ia akan mengawal dan mengehadkan kandungan lucah sebelum ia disiarkan ke WiFi anda dan akan menyekat mana-mana komputer atau peranti yang menghubungkan dengan komputer anda.

5. Anda juga perlu menggunakan tetapan keselamatan Google dengan menghidupkan tetapan keselamatan pada carian Google setiap komputer. Pastikan anda melakukan ini pada login tertentu ke komputer yang mereka gunakan. Log masuk ke akaun Google anda dan layari www.google.com/preferences.

Anda juga boleh mengunci tetapan untuk membuka atau mematikannya. Untuk maklumat lanjut layari www.islamicparentingnetwork.net.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 2:18 PM