Rina (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab berhuhung pengoperasian agensi tersebut di Menara CuberSecurity Malaysia semalam.
Rina (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab berhuhung pengoperasian agensi tersebut di Menara CuberSecurity Malaysia semalam.
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggesa kerjasama pelbagai pihak ditingkatkan bagi menangani isu eksploitasi dan perkongsian kandungan lucah kanak-kanak di alam maya.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, menegaskan isu itu masih meruncing ketika ini berikutan kesukaran pihak berkuasa mengesan dan menahan dalang di sebalik perkongsian bahan lucah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak bergerak bersama secara bersepadu dan strategik dalam usaha memerangi dan menangani kes eksploitasi dan pornografi kanak-kanak di Internet.

"Saya cukup risau, bimbang dan pandang serius dapatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyatakan menerima puluhan ribu alamat protokol internet (IP) yang berkongsi kandungan lucah kanak-kanak di Internet.

"Daripada 93,368 alamat IP lucah berkenaan, hanya 103 berjaya diperiksa, yang membawa kepada penangkapan 50 individu.

"Angka ini amat merunsingkan dan kes seperti ini memerlukan kerjasama segenap anggota masyarakat untuk sama-sama mencegah dan melindungi kanak-kanak di negara ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Rina membuat lawatan bagi meninjau pengoperasian CyberSecurity Malaysia di Cyberjaya, semalam.

Mengulas lanjut, Rina memaklumkan antara inisiatif dilaksanakan kementerian itu bagi menangani kes eksploitasi dan pornografi kanak-kanak adalah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) PDRM.

Beliau turut mengadakan perbincangan khas membabitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Jawatankuasa Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu Kanak-Kanak di Media Sosial dan CyberSecurity Malaysia bagi menangani isu berkenaan secara sistematik, terurus dan terancang.

Berhubung lawatannya ke CyberSecurity Malaysia, Rina memaklumkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan melaksanakan advokasi dan program peningkatan kesedaran kepada ibu bapa supaya cakna mengenai ancaman dunia siber.

"Banyak lagi kerjasama dijalankan bersama CyberSecurity bagi menyediakan persekitaran siber yang selamat dan kalis ancaman untuk kanak-kanak. Kami akan bekerjasama sebagai satu pasukan.

"Saya dan kementerian akan mempergiatkan usaha memastikan persekitaran siber yang selamat agar kanak-kanak di negara ini tidak terdedah pada pelbagai risiko di alam siber, termasuk dieksploitasi dan pornografi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 4:04 PM