AFP

Manila: Pelapor hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhasrat melawat Filipina bagi menyiasat kempen memerangi dadah oleh Presiden Rodrigo Duterte yang kini meragut lebih 3,000 suspek penjenayah.

Duterte pada minggu lalu berkata, dia mungkin membenar pakar PBB dan Kesatuan Eropah (EU) untuk meneliti ratusan kes pembunuhan tanpa bicara sejak dia berkuasa pada 30 Jun lalu.

Walaupun kerajaan masih belum membuka siasatan rasmi tetapi pelapor PBB untuk kes pembunuhan secara rambang dan tanpa bicara, Agnes Callamard memberitahu, dia mungkin melancarkan siasatan.

“Saya menyambut baik laporan media yang memberitahu presiden dan kerajaan Filipina bakal menjemput wakil PBB untuk menyiasat kes pembunuhan tanpa bicara di sana,” kata Agnes dalam satu kenyataan semalam.

Agnes berkata, dia bakal mendesak pelbagai kaedah bagi memastikan mereka yang memberi maklumat kepadanya tidak dikenakan sebarang tekanan.

“Tarikh dan skop misi mencari kebenaran itu akan dibincangkan dengan dirunding dengan kerajaan bersama beberapa jaminan.

“Ini termasuklah jaminan kebebasan pergerakan dan siasatan saya serta jaminan saksi saya tidak dikenakan tekanan seperti ugutan, ancaman, pencabulan atau hukuman,” katanya.

Duterte menang besar dalam pilihan raya presiden pada Mei lalu selepas berjanji melancarkan perang terhadap dadah dan membunuh 100,000 penjenayah.

Menurut data polis, lebih 3,300 suspek dibunuh sejak Duterte berkuasa.

Duterte juga menggesa polis dan juga orang awam untuk membunuh pengedar dan penagih dadah.

Polis memberitahu, kebanyakan suspek yang dibunuh pihak berkuasa kerana melawan ketika ditangkap dan sebahagian lagi terbunuh akibat pergaduhan antara kumpulan penjenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 9:25 AM