DUTERTE
DUTERTE
AFP

Manila: Presiden Filipina, Benigno Aquino semalam menyeru calon presiden dalam pilihan raya umum negara itu bersatu bagi menentang calon popular, Rodrigo Duterte yang dianggapnya diktator dalam pembikinan.

Aquino membuat rayuan itu selepas tinjauan pendapat mendapati Duterte mendapat sokongan besar menjelang pilihan raya umum pada Isnin ini.

Duterte, 71, terus mendapat sokongan walaupun dihimpit pelbagai kontroversi termasuk menubuhkan skuad pembunuh penjenayah serta kelantangannya ketika berkempen.

Aquino dalam satu wawancara dengan CNN Filipina berkata, dia cuba memujuk empat lagi calon presiden bersatu bagi mengalahkan Duterte yang dijangka memperoleh 30 peratus undi.

“Apa yang penting adalah cuba memujuk dua calon bersatu dan mereka bakal mendapat lebih 40 peratus undi,” katanya.

Aquino tidak boleh bertanding dalam pilihan raya kali ini kerana dia sudah tamat dua penggal pemerintahan.

Di Filipina, calon yang mendapat undi paling banyak bakal dipilih sebagai presiden.

Menurut tinjauan pendapat terbaru yang dikeluarkan semalam, Duterte mendapat 33 peratus sokongan manakala Senator Grace Poe mendapat 22 peratus diikuti Mar Roxas dengan 20 peratus.

Duterte, 71, mendapat sokongan dari setiap sektor masyarakat dengan menggambarkan dirinya sebagai ahli politik antigolongan berkuasa yang boleh menyelesaikan masalah dengan segera terutama sekali jenayah.

Datuk Bandar Davao itu berjanji menghapuskan jenayah dalam tempoh enam bulan pemerintahannya dengan mengarahkan pihak berkuasa menembak mati penjenayah.

Duterte berkata, dia akan membunuh ratusan ribu penjenayah dan mengampunkan dirinya sekiranya didapati bersalah melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Dia sebelum ini pernah dituduh mengetuai skuad pembunuh di Davao yang membunuh lebih 1,000 suspek penjenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:05 AM