SENAMAN berkumpulan dilakukan dalam suasana ceria.
SENAMAN berkumpulan dilakukan dalam suasana ceria.

Letih, lesu dan tidak bersemangat? Kini tiba masa untuk mengembalikan tenaga dengan senaman menyeronokkan.

Bagi mereka yang memerlukan inspirasi, kunjungi pusat beli-belah The Curve yang giat menganjurkan kempen kecergasan menarik selama 10 hari.

Bekerjasama dengan peneraju industri kecergasan global Fitness First, The Curve menampilkan tema senaman menarik, The Fittest Survives untuk menjayakan kempen Kesihatan dan Kesejahteraan yang berlangsung dari 3 sehingga 12 April ini.

Program ini menampilkan program senaman sesuai dengan setiap tahap kecergasan, direka khas untuk memperbaiki ketangkasan seluruh badan dan kepantasan diri dalam suasana ceria dan penuh motivasi.

Dengan persekitaran menarik, Centre Court di The Curve menampilkan persekitaran mendamaikan lengkap dengan pepohon buluh dan laluan yang berliku dengan enam ruangan berbeza.

Setiap ruang menawarkan satu cabaran berlainan yang perlu diselesaikan dalam tempoh 45 saat, merangkumi senaman Tire Dead Lift, Plyo Box Jumps, The Target, The Cube, The X Grid dan The Web.

Daripada mengangkat beban, tekan tubi dan seumpamanya, semua cabaran senaman kecergasan berbeza ini mengajar peserta cara baru untuk menguji had kekuatan diri mereka.

Menurut Pengurus Kompleks The Curve Jazmi Kamarudin, masyarakat semakin sedar kepentingan kecergasan, khususnya bagi warga kota yang sentiasa sibuk sehingga tidak dapat meluangkan masa menjaga tahap kesihatan dan kesejahteraan diri mereka.

“Diharapkan pengunjung berasa seronok dan mengambil peluang menyertai aktiviti yang disediakan di samping mempelajari tip baru untuk gaya hidup sihat,” katanya.

Diadakan setiap Jumaat hingga Ahad pada waktu pagi dan petang, senaman berkumpulan yang disediakan termasuk senaman popular seperti Zumba, senaman ala tarian Sh’bam serta senaman penuh dengan gaya aksi seperti Body Combat dan Body Attack.

Pada masa sama, pelanggan juga boleh mendapatkan botol air Water-to-Go yang berwarna biru, hijau atau merah bagi pembelian bernilai RM200 ke atas selagi stok masih ada.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 10:11 AM