Oleh Siti Zarinah Sahib

Senaman zumba diiringi alunan muzik rancak kini bukan lagi sesuatu yang asing. Selain menyihatkan badan, pergerakannya dikatakan mampu menghilangkan tekanan kerana membabitkan keseluruhan otot badan dan dilakukan secara berkumpulan dengan gembira dan ceria.

Menggabungkan kepelbagaian rentak dalam senaman, zumba paling sesuai dipelajari mereka yang ingin menguruskan badan, kekal cergas dan mendapatkan bentuk badan menawan. Ia menggunakan teknik tarian perlahan serta pantas dengan gabungan aerobik dan tarian samba, salsa, mambo dan merengue, sekali gus mengubah pandangan orang ramai terhadap aktiviti kecergasan.

Menyedari fenomena kecergasan ini di seluruh dunia dengan hampir 15 juta menyertai kelas zumba setiap minggu di 200,000 lokasi di dunia, Score FitMob mengambil inisiatif mengadakan Parti Kecergasan Zumba Terbesar yang akan diadakan di Stadium Merdeka pada 18 Januari ini.

Menyasarkan 6,000 peserta menari sambil menghapuskan kalori, acara zumba terbesar yang bakal tercatat dalam Buku Rekod Malaysia ini akan diketuai sepasukan 15 jurulatih dari tujuh negara berbeza.

Menurut Pengarah Strategi Score, James Tan, kejayaan acara Les Mills BodyCombat yang dihadiri 1,823 peserta mendorong Score meletakkan sasaran lebih tinggi dengan penganjuran acara yang lebih besar dan disertai ramai peserta.

"Score FitMob menghimpunkan mereka yang berfikiran positif menerusi aktiviti kecergasan menyeronokkan dan kami mahu mengekalkan semangat kemesraan dan amalan gaya hidup sihat," katanya.

Acara ini akan dipersembahkan Great Eastern Life seiring dengan program Live Great iaitu kesihatan dan kesejahteraan bersepadu yang pertama oleh syarikat ini.

Menurut Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Great Eastern Life Malaysia, Datuk Koh Yaw Hui, idea di sebalik Live Great adalah untuk menghapuskan kecenderungan orang ramai bahawa kesihatan dan kesejahteraan itu sesuatu yang membosankan.

"Kekal cergas dan bersenam amat menyeronokkan. Ia akan lebih menghiburkan apabila anda mengajak keluarga dan rakan turut sama membabitkan diri dalam aktiviti yang memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk turut sama melakukan perubahan dalam kehidupan," katanya.

Mohamad Iskandar Mahbob, 27, yang terpilih sebagai jurulatih untuk Parti Kecergasan Zumba Terbesar ini mengakui tidak sabar untuk bersama-sama dengan 6,000 peserta pada 18 Januari akan datang kerana berasa acara istimewa ini pastinya memberikan pelbagai kebaikan kepada semua.

Dia yang menjadi jurulatih zumba secara sambilan sejak dua tahun lalu menjelaskan, di Malaysia zumba mempunyai potensi yang sangat besar kerana di mana saja masyarakat mula menjadikannya sebagai rutin harian.

"Sejak menjadi jurulatih zumba, saya menerima penyertaan yang sangat hebat daripada peserta. Setiap kali acara, kelas penuh dan ada yang meminta untuk diadakan semula. Ini kerana zumba direka untuk semua peringkat usia tanpa mengira tahap profesionalisme seseorang," katanya.

Sama seperti alunan muzik dimainkan zumba yang bersifat universal, begitu juga dengan pergerakan yang dihasilkan bagi memberikan kegembiraan kepada peserta. Zumba

mudah diikuti dalam suasana seperti pesta, ceria dan gembira.

Dia yang menetap di Kanada pada tahun lalu mengakui, zumba di luar negara bergerak terlalu pantas disebabkan individu yang berada dalam lingkungan kehidupan yang mementingkan gaya hidup sihat. Di Malaysia apa kurangnya apabila semakin banyak program kecergasan diadakan seperti maraton dan zumba yang mendapat perhatian ramai.

Bagi Janice Kong yang terbabit sepenuh masa sebagai jurulatih zumba sejak dua tahun lalu, dia gembira kerana zumba kini mula diterima masyarakat. Semakin ramai wanita menyertainya tanpa mengira usia.

"Pada mulanya ramai yang bimbang sekiranya tidak mampu mengikuti setiap pergerakan kerana senaman ini membabitkan tarian rancak dan pantas. Tetapi selepas sesi pertama, masing-masing teruja kerana mereka mampu melakukannya. Paling penting ia sangat menyeronokkan," katanya.

Sebagai jurulatih, Janice sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dalam bidang kecergasan zumba kerana melaluinya, dia mampu meningkatkan kemahiran menerusi muzik dan tarian. Dia juga memberikan pelbagai panduan mengenai diet dan pemakanan agar dapat diseimbangkan dengan senaman.

Tidak sabar menyertai Parti Kecergasan Zumba Terbesar Januari ini, Janice berharap program sebegini mampu meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya amalan hidup sihat kepada masyarakat.

Acara ini disokong Fit Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertujuan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menjadi lebih cergas menerusi aktiviti sukan.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.score.my. Pendaftaran sebagai peserta dibuka sehingga 30 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:00 AM