JURULATIH senaman mengetuai tarian.
JURULATIH senaman mengetuai tarian.
HM Digital

Selain regim senaman yang biasa dilakukan, menari juga antara cara terbaik untuk meningkatkan kesihatan dan kesegaran tubuh.

Selain itu, tarian dengan kombinasi unik daripada latihan fizikal, interaksi sosial dan tumpuan dapat membantu menghilangkan tekanan, menambah tenaga dan stamina serta meningkatkan kekuatan otot tubuh.

Tidak hairan tarian moden seperti zumba, aerobik, masala banghra, aero dance, body combat dan salsa semakin diminati ramai tidak kira usia atau latar belakang hingga rutin tarian itu dijadikan kaedah menyeronokkan untuk meningkatkan tahap kesihatan.

Menyedari kesedaran mengenai gaya hidup sihat melalui tarian semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, syarikat produk kesihatan, Grand Million Supremacy (GMS) menganjurkan program tarian ‘Fit Concerto-Garcinia Maxx My Life’ di Putrajaya, baru-baru ini.

Program berbentuk tarian kecergasan itu menawarkan gerakan yang mudah diikuti diiringi pelbagai genre muzik yang menyeronokkan.

Hari ini, senaman bukan lagi aktiviti bosan yang dilakukan untuk penjagaan kesihatan semata-mata.

Senaman kini mempunyai pelbagai fungsi seperti mengubah mood, meningkatkan keyakinan dan harga diri, mengubati trauma serta menjalinkan hubungan silaturahim sesama mereka yang aktif melakukan tarian kecergasan.

Program menggabungkan pelbagai tarian kecergasan itu menarik minat lebih 500 peserta pelbagai peringkat umur dan menariknya, ia turut disertai masyarakat berbilang bangsa.

Program tanggungjawab sosial korporat anjuran syarikat itu juga menggabungkan pelbagai teknik senaman seperti zumba, body combat, zafina dan masala banghra berlangsung selama dua jam tanpa henti memberi kepuasan kepada peserta.

Pengarah Urusan GMS Datuk Ryzal Jamaludin berkata, aktiviti tarian untuk kecergasan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, oleh itu, program itu diadakan khusus untuk mempromosi kesihatan dan kecergasan melalui tarian.

Tarian bukan saja dapat menjadikan regim senaman yang menarik malah memupuk budaya hidup sihat saat negara berdepan kadar rakyat mengalami obesiti yang semakin meningkat setiap tahun.

“Ditambah iringan muzik rancak, tarian boleh dilakukan dengan lebih menyeronokkan dan secara tidak langsung menjadikan regim senaman tidak lagi membosankan.

“Aktiviti kecergasan menjadi keutamaan dalam membentuk masyarakat sihat selain teknik senaman berubah dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, saban tahun aktiviti senaman tidak dianggap pilihan bermusim sebaliknya pelbagai teknik diketengahkan mengikut kesesuaian berdasarkan kreativiti dan tempat.

“Fit Concerto bakal menjadi acara kecerdasan berskala besar secara tahunan dan kami menyasarkan penyertaan lebih 20,000 peserta sepanjang tahun ini dari seluruh negara.

“Program ini juga mengetengahkan barisan jurulatih dari Kelab Kecergasan OneNation Fitness yang juga tenaga pengajar bertauliah dari Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.

Ryzal berkata, acara sukan itu mengajak masyarakat terus mengamalkan gaya hidup sihat menerusi teknik lebih santai dan menceriakan.

“Pelbagai program kecergasan bakal dianjurkan, mempamerkan kaedah senaman unik dan berbeza. Aktiviti ini juga memupuk hubungan baik antara peserta dan keluarga untuk memanfaatkan hujung minggu dengan aktiviti bermanfaat,” katanya.

Sementara itu seorang peserta, Norazila Abdul Latif, 41, berkata, tarian kecergasan lebih mudah diikuti dan diiringi pelbagai genre muzik yang menyeronokkan.

Malah program itu menarik minatnya kerana selain dapat bersenam dengan cara yang lebih menghiburkan, dia boleh menambah kenalan baru yang berkongsi minat sama.

“Tambahan pula, dengan keletihan dan kesibukan tugas sebagai ibu yang bekerjaya, penyertaan program ini dapat membantu mengurangkan tekanan di samping meningkatkan kecergasan saya.

“Semakin meningkat usia, saya menyedari keperluan untuk kekal cergas terutama untuk membesarkan anak. Oleh itu, sejak tiga tahun lalu saya menyertai program kecergasan seperti zumba secara aktif.

“Rutin tarian secara berkumpulan satu platform terbaik untuk peserta mengeratkan silaturahim sambil bersenam dan menambah kenalan baru.

“Biasanya selepas habis kerja, saya akan melakukan aktiviti ini sekurang-kurangnya tiga kali seminggu,” katanya yang sanggup datang dari Seremban, Negeri Sembilan untuk menyertai program berkenaan.

Selain itu katanya, pembabitan pelbagai kaum juga dapat memupuk perpaduan kerana semua peserta dalam program itu tanpa mengira bangsa dapat bergaul dan bermesra.

Katanya, sambutan luar biasa peserta menunjukkan semakin ramai yang mengambil berat mengenai kesihatan mereka. Dia berharap program seumpama ini dapat dilaksanakan secara berkala di serata tempat.

Bagi Rina Yahya, 40, ramai mengetahui latihan senaman konvensional amat membosankan, oleh itu melakukan latihan yang sama setiap hari dapat menurunkan tahap kecergasan seseorang yang akhirnya menjadikan aktiviti ini perkara yang sukar dilaksanakan.

“Di sinilah program tarian kecergasan seperti zumba sangat berguna dan jauh berbeza daripada latihan konvensional serta sangat menyeronokkan, mudah dan menarik sehingga saya dapat menikmatinya selama berjam-jam tanpa bosan.

“Selain itu, ketika melakukan gerakan zumba, tubuh akan membakar banyak kalori dan membolehkan penurunan berat badan lebih cepat.

“Saya lihat semakin ramai yang menjadikan tarian kecergasan sebagai rutin menurunkan berat badan yang secara tidak langsung membebaskan kita daripada penyakit berbahaya,” katanya.

Menurut ibu kepada lima cahaya mata ini, selain zumba, dia turut aktif dalam senam tari salsa yang pada anggapannya satu gerakan yang amat unik, menyeronokkan dan mengeluarkan banyak peluh.

Minatnya dalam senam tari sudah bercambah sejak lima tahun lepas dan dia bermula dengan senam aerobik. Seiring peredaran masa, banyak senam tari yang semakin menarik perlu dicubanya.-Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 10:37 AM