WAN Ahmad Fadhil (duduk tengah) dan Sharifah Nabilla (duduk kanan) bersama artis jemputan ketika majlis pelancaran spa.
WAN Ahmad Fadhil (duduk tengah) dan Sharifah Nabilla (duduk kanan) bersama artis jemputan ketika majlis pelancaran spa.
Hajahfarhana Tarmudi


Kulit wajah bermasalah perlu dirawat menggunakan kaedah betul bagi mengelak ia berlanjutan dan lebih membingung–kan apabila keadaan itu menjadi lebih teruk.

Justeru, pilihan produk penjagaan wajah dan rawatan sesuai bersama kombinasi diet seimbang serta bersenam membantu menjaga kulit wajah yang sihat dan berseri.

Bagi anda yang masih tercari-cari lokasi spa khusus untuk rawatan wajah untuk menyelesaikan masalah kulit wajah, kunjungan ke Naarabelle Facespa di Setapak, Kuala Lumpur yang dilancarkan secara rasmi baru-baru ini, mungkin boleh membantu.

Menurut Pengarah Urusannya, Wan Ahmad Fadhil Wan Jaafar, pusat kecantikan yang dibuka kepada lelaki dan wanita itu turut menawarkan perkhidmatan dengan kos berpatutan untuk semua golongan masyarakat.

“Kami menggabung–kan konsep rawatan tradisional dan moden yang digunakan oleh pakar kecantikan terlatih. Peralatan yang digunakan dipastikan mempunyai kualiti daripada gred yang bermutu tinggi serta canggih mengikut trend semasa dan global.

“Selain itu, kemudahan di spa ini turut dititikberatkan bagi menjaga keselesaan pelanggan yang sedang menunggu agar mereka berasa tenang sebelum dan selepas melakukan rawatan,” katanya.

Ujarnya, suasana mewah dengan dekorasi menarik turut disediakan bagi memastikan setiap pengunjung yang datang berpuas hati dan berbaloi dengan harga ditawarkan.

Menariknya, spa rawatan wajah itu juga mendapat kerjasama daripada usahawan tudung terkenal Bella Amara, Sharifah Nabilla Al Yahya Syed Sheikh yang secara tidak langsung menjadi duta kepada pusat rawatan berkenaan.

“Ramai yang bertanya kepada saya mengenai penjagaan wajah dan produk yang digunakan untuk mengekalkan kecantikan walaupun penat bekerja seharian menguruskan butik.

“Justeru, apabila diberi peluang bekerjasama dengan spa ini, saya bersetuju kerana memang sudah lama ingin mencipta produk penjagaan wajah sendiri.

“Bukan itu saja, ini antara cara saya berkongsi rahsia penjagaan wajah melalui produk keluaran jenama sendiri dan memang dipakai setiap hari,” kata Sharifah Nabilla.

Menerusi pelan jangka panjang, spa berkenaan merancang membuka 50 cawangan di seluruh negara termasuk memberi peluang kepada usahawan baru yang berminat untuk membuka cawangan di negeri mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 5:27 AM