RAWATAN wajah menggunakan produk terbaik.
RAWATAN wajah menggunakan produk terbaik.
WAJAH dianalisis terlebih dulu sebelum mendapatkan rawatan wajah dan memilih alat solek.
WAJAH dianalisis terlebih dulu sebelum mendapatkan rawatan wajah dan memilih alat solek.
RUANG mekap dibuka secara percuma kepada pengunjung.
RUANG mekap dibuka secara percuma kepada pengunjung.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Kulit wajah kebanyakan artis Korea yang sempurna, cantik dan gebu, tidak kiralah golongan lelaki mahupun wanita membuatkan kita tertanya-tanya cara mereka mengekalkan kulit bersih tanpa sebarang cela.

Sedikit sebanyak ia turut mempengaruhi populariti Korea yang memang terkenal dengan produk kecantikan dan penjagaan kulitnya yang menarik.

Bertambah unik apabila kebanyakan produk kosmetik yang dipasarkan dalam pek atau botol dengan rekaan menarik. Atas sebab itu, tidak hairanlah ramai antara kita tertarik untuk mendapatkan barangan kosmetik yang dikeluarkan negara berkenaan.

Jika anda salah seorang peminat fanatik terhadap kecantikan dan ingin tahu mengenai kemajuan produk penjagaan kulit negara itu, kunjungan ke Skin Anniversary Beauty Town di Paju, Korea pasti tidak mengecewakan.

Pusat sehenti terbesar di negara itu sering menjadi lokasi tumpuan artis terkenal dan menampilkan jenama popular.

Pusat sehenti berkenaan berdekatan Lapangan Terbang Incheon dan pengunjung tidak perlu risau untuk ke sana kerana kemudahan pengangkutan awamnya.

Sebaik memasuki pintu pusat sehenti bagi kecantikan ini, pengunjung digalakkan melakukan analisis kulit menggunakan mesin khas kerana ia membantu anda mendapatkan maklumat berguna sebelum memilih alat solek atau produk penjagaan wajah yang sesuai dengan jenis kulit.

Malah, setiap maklumat yang diterima daripada pengunjung akan disimpan dengan baik untuk kegunaan akan datang bagi mendapatkan pandangan lebih terperinci pada masa akan datang.

Selepas wajah dianalisis, setiap pengunjung yang mahu mendapat penerangan lebih lanjut mengenai kebaikan rangkaian kecantikan yang dikeluarkan negara berkenaan boleh menyertai sesi pembelajaran menggunakan kaedah audio-visual.

Menariknya, peserta turut diajar mengenai cara menggunakan kosmetik berdasarkan kesesuaian jenis kulit dan kaedah betul menjaga kesihatan wajah mengikut pertukaran musim di negara masing-masing.

Selepas mendengar penerangan, pengunjung boleh merasai sendiri rawatan wajah di bangunan sama. Pusat kecantikan yang berada di tingkat atas itu memiliki 10 bilik rawatan wajah.

Ruang dalamannya agak luas dan mampu menempatkan hingga 300 pengunjung dalam satu masa. Kebiasaannya, rawatan wajah berlangsung dalam tempoh 30 minit.

Pengurus profesional melakukan rawatan wajah yang dimulakan dengan pemakaian pupur bagi membantu membuka liang pori kulit. Ia bertujuan untuk mempercepatkan proses penyerapan khasiat bahan digunakan bagi menjadikan kulit lebih sihat.

Perubahan kesegaran wajah dapat dirasai selepas melakukan urutan wajah dan sapuan produk kosmetik yang terbaik.

Wajah yang polos berubah menjadi cantik dalam sekelip mata. Itu semua kuasa solekan dan menariknya, pengunjung boleh mengambil kesempatan menyempurnakan penampilan dengan selesa.

Semua deretan alat solek dan rangkaian penjagaan wajah yang disediakan di satu ruang khas boleh dicuba secara percuma.

Tiada desakan atau gangguan daripada jurujual bahkan mereka bersedia memberi nasihat dan pendapat dengan wajah ceria jika pengunjung memerlukan maklumat terperinci mengenai alat solek yang dicuba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:03 AM