PEMAIN JDT Fernando Forestieri (kanan) dihalang pemain Kedah Amirbek Juraboev dan Bojan Ciger. FOTO Bernama
PEMAIN JDT Fernando Forestieri (kanan) dihalang pemain Kedah Amirbek Juraboev dan Bojan Ciger. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Sememangnya perit untuk ditelan selepas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mudah diratah Johor Darul Ta'zim (JDT) 6-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar, semalam.

Pengendali KDA FC, Nafuzi Zain tampak begitu kecewa dan tidak menjangka gawangnya pasukannya mudah dibolosi dan menegaskan kesilapan individu menjadi punca utama kekalahan besar itu.

Katanya, semua serba tidak menjadi dalam tempoh 10 minit permainan pada babak kedua apabila JDT menjaringkan tiga gol mudah berpunca daripada kesilapan individu tidak sepatutnya berlaku dalam perlawanan berintensiti tinggi.

"Gol JDT jelas melemahkan moral pemain untuk bangkit dan cuba beri saingan walaupun kita berusaha tapi berdepan dengan JDT bukan satu tugas mudah selepas mereka menguasai permainan dan kita gagal beri saingan sehingga mudah dihukum.

"Apa yang saya lihat semua posisi kena berfungsi dengan baik kerana kita tahu lawan JDT yang serba lengkap, semua pemain saya harus memainkan peranan dan tugas masing-masing dan pada aksi itu saya sendiri boleh nampak di mana tahap kita dengan JDT.

"Ketiadaan Ariff Farhan dan Wan Amirul Afiq yang kerap diturunkan dalam skuad utama menjejaskan rentak permainan tapi bagi saya tidak menggunakan alasan tanpa mereka kita tidak boleh beraksi kerana pemain lain diberi tanggungjawab dan harus memainkan peranan penting dan semuanya akibat kesilapan individu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 2:31 PM