DOUGLAS (tengah) pada Persidangan Tahunan Negara Pengeluar Getah Asli, semalam.
DOUGLAS (tengah) pada Persidangan Tahunan Negara Pengeluar Getah Asli, semalam.

Kuala Lumpur: Sebanyak 64 koperasi pekebun kecil dijangka menerima pinjaman mudah berjumlah RM6.4 juta sebagai modal pusingan untuk membeli terus getah daripada kira-kira 442,000 pekebun kecil getah di seluruh negara bermula 1 November ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kemudahan yang diumumkan melalui Bajet 2015 itu akan membantu koperasi yang sering berhadapan dengan kekangan modal untuk membeli getah, sekali gus mengelakkan peranan orang tengah dalam rantaian bekalan getah negara.

"Kami yakin pihak Lembaga Getah Malaysia (LGM) sudah bersedia untuk memulakan program ini dengan tujuan untuk meningkatkan lagi harga getah dan terus membantu pekebun kecil getah untuk berhadapan dengan penurunan pendapatan yang disebabkan harga komoditi ini," katanya pada Persidangan Tahunan Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC), semalam.

Bajet 2015 menyaksikan Perdana Menteri mengumumkan LGM akan menyediakan pinjaman mudah berjumlah RM6.4 juta sebagai modal pusingan kepada 64 koperasi pekebun kecil bagi membeli getah terus daripada kira-kira 442,000 pekebun kecil getah di seluruh negara.

Selain itu, LGM turut akan memperuntukkan RM100 juta bagi melaksanakan mekanisme kawal selia harga di peringkat ladang untuk melindungi pekebun kecil daripada mengalami kerugian terutama ketika harga pasaran dunia lebih rendah daripada harga minimum yang ditetapkan.

Ketika mengulas mengenai insentif terbabit, beliau berkata, perkara itu tidak boleh diumumkan lagi kerana ia bergantung kepada kelulusan Kabinet, namun menegaskan ia adalah usaha berterusan kerajaan untuk melindungi kebajikan pekebun kecil getah di negara ini.

Berdasarkan laporan Kumpulan Kajian Getah Antarabangsa (IRSG), saham semasa global getah asli dianggarkan sebanyak 2.6 juta tan di mana ia dilihat menyumbang kepada harga yang rendah.

"Apabila harga getah menurun, kita perlu mencari langkah untuk mengurangkan kesan negatif kepada pekebun kecil yang telah mengalami penurunan dalam pendapatan," katanya.

Ketika mengulas mengenai cadangan beberapa persatuan pengeluar getah dari Thailand dan Indonesia untuk tidak menjual getah pada harga di bawah AS$1.50 per kilo, Douglas berkata, negara menyokong perkara itu kerana ia penting untuk memastikan harga komoditi itu tidak terus jatuh pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:07 AM