Mohd Amin Jalil

Kuala Pilah: Kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan melakukan pemutihan terhadap pekebun kecil getah di seluruh negara, berikutan terdapat ramai di kalangan mereka yang tidak aktif.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata, ketika ini terdapat hanya sekitar 110,000 pekebun kecil yang aktif berbanding ada 500,000 pekebun yang berdaftar dengan Sistem Permit Autoriti Transaksi- Getah (PAT-G).

"Daripada kajian dijalankan kita dapati ramai yang tidak menoreh, jadi kita minta LGM membuat pemutihan terhadap angka sebenar pekebun kecil getah yang tidak aktif.

"Ia bertujuan melihat pemasalahan dihadapi dan kaedah mana yang boleh dibantu supaya ia dapat diselesaikan.

"Terdapat banyak ladang getah yang terbiar atau sengaja dibiarkan tanpa diusahakan atau diuruskan dengan baik dan ia satu kerugian kepada negara sedangkan kerajaan menyediakan pelbagai insentif untuk pekebun kecil termasuk menetapkan harga siling getah sekerap RM2.50 sekilogram," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Pekebun Kecil Getah Peringkat Parlimen Kuala Pilah di Dewan Laman Gentam di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Juasseh, Datuk Ismail Lasim dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia (MRC),

Nurul Islam Mohamed Yusof.

MOHD Khairuddin (dua dari kanan) berbual dengan sebahagian pekebun kecil. FOTO Azrul Edham Mohd Amin.
MOHD Khairuddin (dua dari kanan) berbual dengan sebahagian pekebun kecil. FOTO Azrul Edham Mohd Amin.

Seramai 100 pekebun kecil getah menerima bantuan pada majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, saranan kementerian supaya pekebun kecil getah menubuhkan koperasi di kawasan masing-masing sebagai persediaan awal menjayakan Projek Transformasi Perusahaan Industri Getah (Target) yang bertujuan meningkatkan taraf hidup mereka.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi menjayakan projek berkenaan dengan sasaran awal sebanyak 20 koperasi pekebun kecil yang akan terbabit dalam pengeluaran getah krip (crepe rubber).

"Setiap koperasi yang terpilih akan disediakan geran RM300,000 dan koperasi pertama yang terpilih akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

"Untuk peringkat pertama model getah krip, satu projek sedang dilaksanakan oleh anak syarikat LGM di kawasan seluas kira-kira 1,000 hektar di Pahang sebagai projek perintis," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian berkenaan sudah menyalurkan sebanyak RM1 juta kepada semua peringkat pekebun kecil getah, sawit, koko dan sebagainya, bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 4:27 PM