Mohd Sabran Md Sani


“DIA (isteri) akan teruja setiap kali mengundi,” kata Salleh Dahlan, 88, berkongsi pengalaman mengundi bersama isterinya, Jenab Jaman, 100, di Sekolah Kebangsaan (SK) Rambah, di Pontian, hari ini.

Pasangan warga emas itu mengambil peluang bangun awal untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi memilih wakil rakyat baharu hari ini.

Salleh berkata, dia dapat lihat keterujaan isterinya mahu keluar mengundi pagi tadi.

“Saya dan isteri sudah mengundi sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pertama di negara ini pada 27 Julai 1955 dan berasa tidak sabar untuk mengundi kali ini.

“Ia saat dinantikan untuk keluar mengundi setiap kali pilihan raya, malah sejak jam 5 pagi isteri kejutkan saya untuk mandi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Menthol, Rambah di Pontian, hari ini.

SALLEH Dahlan (kanan) dan isteri, Jenab Jaman, menunjukkan jari yang dicelup dakwat bukti sudah menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRK Parlimen Tanjung Piai, Pontian. FOTO Mohd Fahmi Yusof
SALLEH Dahlan (kanan) dan isteri, Jenab Jaman, menunjukkan jari yang dicelup dakwat bukti sudah menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRK Parlimen Tanjung Piai, Pontian. FOTO Mohd Fahmi Yusof

Menurutnya, dia bangun dan memasak air untuk memandikan isterinya sebelum dipakaikan baju dan bedak.

“Memang dia akan teruja, setiap kali mengundi memang macam ini dia tidak sabar untuk keluar mengundi awal dan berkali-kali tanya bila kereta hendak datang dan membawa ke Pusat Mengundi,” katanya.

Salleh berkata, isterinya agak pemalu dan kurang bercakap, selain akan berkata-kata dan bercerita jika dia berada di sisi Jenab.

“Dia memang kurang bercakap dengan orang sangat, tetapi kalau saya ada di sebelahnya baru dia mahu bercakap,” katanya.

Ditanya mengenai perasaan untuk keluar mengundi, Jenab yang mempunyai masalah pendengaran mengakui memang suka dan teruja untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

“Suka, nenek suka lihat orang ramai dan mengundi,” jawabnya ringkas.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 1:27 PM