Api marak pantas memusnakan rumah panjang di  Muara Payang, Sarikei, petang tadi. - Foto KHALID LATIP
Api marak pantas memusnakan rumah panjang di Muara Payang, Sarikei, petang tadi. - Foto KHALID LATIP
Khalid Latip


Sarikei: Persiapan lebih 200 penghuni Rumah Panjang Benan, Muara Payang di sini, menyambut Hari Gawai esok, tidak kesampaian apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, rumah panjang 16 pintu musnah sepenuhnya ketika penghuninya sibuk membuat persiapan untuk meraikan sambutan Hari Gawai.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, bomba menerima panggilan kebakaran itu pada jam 6.21 petang dan 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei bergegas ke lokasi kejadian.

"Bomba mengambil masa kira-kira 45 minit untuk ke lokasi kejadian yang hanya boleh dihubungi menggunakan bot. Api merebak dengan pantas memusnahkan 16 pintu rumah panjang," katanya.

Menurutnya, pasukan forensik bomba masih menyiasat punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini dan akan menghantar bantuan segera kepada penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 9:36 PM