MAN KIDAL
MAN KIDAL
Ridzuan Abdul Rahman


Pemain gitar terkenal Man Kidal yang kini aktif dalam perniagaan mengakui usahanya dalam bidang itu banyak dibantu anaknya Mohd Shefflee atau Elly yang bijak mencari peluang.

Man, 53, yang juga pengasas kumpulan rock Lefthanded berkata, dia bersyukur dan gembira kerana anaknya dikurniakan bakat dalam perniagaan.

Seperti juga Man, Elly juga hebat sebagai pemain gitar dan kerap mengiringi persembahan Man Kidal dan juga penyanyi-penyanyi lain.

“Walaupun saya galakkan Elly menceburi bidang muzik, dia sebaliknya nampak saya boleh jadi sumber perniagaan yang berjaya.

“Elly ada pasukan perniagaannya sendiri yang saya anggap macam anak sendiri. Dalam tempoh enam bulan, mereka berjaya ‘meletupkan’ 20 produk keluaran syarikat kami.

“Menerusi gabungan idea ini, syarikat turut menghasilkan produk kecantikan untuk Ella dan produk kumpulan Raihan. Kami sedang merancang buat konsert jelajah sambil mempromosi produk ini,” katanya.

Menurutnya, menerusi cara ini, peminat yang ingin menonton konsert perlu membeli produk artis keluaran syarikatnya.

“Kalau ikutkan saya sebenarnya nak buat penjenamaan dan tak terfikir nak hasilkan produk. Tapi sekarang dah lain jadinya. Apapun saya bersyukur kerana kami semakin dapat perhatian. Ada usaha untuk pasarkan produk kami ke China dan India selepas ini,” katanya.

Man berkata, syarikatnya Global Tijari Capital Berhad yang ditubuhkan sejak setahun lalu kini mempunyai 12 anak syarikat dan aktif memasarkan produk kesihatan dan penjagaan kecantikan.

“Kami menjual menerusi skim koperasi Angkasa serta mempunyai kedai di beberapa negeri,”katanya.

Pemuzik yang dikenali dengan karakter pendiam ini berkata, hasil titik peluh dan usahanya selama berpuluh tahun dalam seni, digunakan untuk membuka perniagaan yang menjamin masa depan keluarganya.

“Saya bangunkan jenama daripada nama saya, tapi dalam masa sama saya masih aktif terbabit dengan persembahan. Syarikat saya terbabit untuk membangunkan resort, pembangunan tanah dan jadi pemaju.

“Saya mempunyai Wisma MK di Johor kerana matlamat saya untuk luaskan perniagaan. Namun muzik adalah dunia saya kerana saya mempunyai perjalanan dalam muzik. Syukur saya berupaya sampai ke tahap ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 9:33 AM