Kamal harap hubungannya kembali pulih. FOTO NSTP
Kamal harap hubungannya kembali pulih. FOTO NSTP
Najiy Jefri


Kuantan: Pelakon Kamal Adli mengakui dia hilang fokus dan sering tiba lewat di lokasi penggambaran seperti didakwa sebelum ini selepas hubungan cintanya dengan pelakon Emma Maembong dikatakan bermasalah.

Kamal, 30, ketika ditemui berkata, dia mengaku ‘mood’ kerjanya tidak serancak seperti sebelum ini.

“Tipulah kalau saya katakan saya tidak terkesan dengan apa yang sudah berlaku di antara dengan dan Emma,” katanya yang ditemui ketika menjalani penggambaran program travelog berjudul Taste Travelog di sini, hari ini.

Kamal berkata, dia tidak boleh menipu semua orang yang melihat setiap perubahan dalam dirinya.

“Saya seorang yang bekerja keras kerana saya fikirkan mengenai masa depan. Ini kerana saya mahu melangsungkan perkahwinan memandangkan usia semakin meningkat.

"Insya-Allah, saya akan cuba cari semula semangat yang hilang itu. Maklumlah apabila berlaku perkara begini ibarat patah sebelah kaki. Bagaimanapun ketika bekerja saya tetap memberi sepenuh tumpuan," katanya.

Ditanya mengenai masalah dalam hubungannya dengan Emma, Kamal enggan mengulas dan meminta supaya diberikan ruang untuk dia menyelesaikan masalah mereka.

"Saya masih berhubung dengan Emma. Buat masa sekarang, masing-masing perlukan masa rehat dan saya menghormati perkara itu.

"Saya memohon kepasa semua peminat sentiasa mendoakan yang terbaik buat kami. Pada masa sama, saya hanya ikut aturan. Kalau ada jodoh pasti tidak ke mana. Begitu juga sebaliknya," katanya yang turut mengharapkan hubungannya dengan Emma kembali pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 8:22 PM