BISA Ilja  (kiri) ditagih MU.
BISA Ilja (kiri) ditagih MU.
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Tempoh rehat tiga minggu digunakan sebaik mungkin Melaka United (MU) untuk memperkasakan pasukan bagi memperbaiki kedudukan kelima carta Liga Perdana.

Pengurus pasukan Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata, jurulatih Mat Zan Mat Aris pasti menggunakan peluang itu untuk menghuni tempat lebih baik selepas terikat 2-2 ketika berdepan Sabah sebelum ini.

Katanya, walaupun memiliki peluang memenangi perlawanan di Likas itu, pasukan tuan rumah lebih banyak menguasai permainan manakala barisan depan skuad Hang Tuah gagal menambah jaringan sebaliknya bocor dua kali.

Menurutnya, beberapa kelemahan dikenal pasti dalam perlawanan berkenaan yang seharusnya diperbaiki segera dalam misi layak ke Piala Malaysia dan mara ke Liga Super musim depan.

“Saya melihat beberapa ruang yang boleh disusun semula terutama memperkemas strategi ketika bertahan bagi mengelak lawan mampu menjaringkan gol.

“Barisan tengah dan serangan juga perlu lebih kreatif untuk menambah jaringan berikutan kebanyakan gol masih bergantung kepada sumbangan pemain tengah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menaruh keyakinan penyerang berbisa Liga Indonesia musim 2015, Ilja Spasojevic mampu memecah kebuntuan jaringan selepas ini.

Baginya, penggempur terbabit bijak mencari ruang untuk rakannya menghasilkan jaringan, namun dia juga perlu bertindak agresif untuk meledak gol sekali gus menepati reputasi tingginya sebagai penyerang digeruni.

Menurutnya, beliau yakin Spasojevic akan muncul penjaring berbisa sekali gus menamatkan penantian peminat terhadap jaringan kapten pasukan itu.

Yusoff berkata, secara keseluruhan pemain beraksi pada tahap terbaik cuma perbezaan jaringan dan gol memisahkan mereka untuk berada di kedudukan lebih baik.

Apapun, beliau mengharapkan kesemua pemain akan mengambil serius sesi latihan yang bakal diberikan Mat Zan sepanjang tempoh rehat bagi menepati sasaran skuad berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 6:55 AM