KHIRUL (tiga kanan) ketika mengadili perlawanan antara T-Team menentang FELDA United.
KHIRUL (tiga kanan) ketika mengadili perlawanan antara T-Team menentang FELDA United.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: “Keputusan sudah dibuat dan didapati sah pengadil (Khirul Azuan Kidam) bersalah tapi persoalannya apa faedah yang T-Team dapat, bagaikan nasi sudah menjadi bubur,” kata Ketua Pengawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mohd Zain yang sudah menduga apa alasan yang akan diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keputusan Jawatankuasa Pengadil FAM yang bersidang semalam memutuskan Khirul melakukan kesilapan ketika mengadili perlawanan membabit T-Team dengan FELDA United 28 Ogos lalu bagi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Syahrizan berkata, bagi memberi keadilan kepada T-Team yang sudah pasti berada dalam pihak yang betul dalam insiden itu beliau menyarankan badan induk bola sepak negara itu dan Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP) membayar pampasan kepada pasukan The Titans.

“Pengadil hanya digantung tiga bulan dan selepas itu boleh kembali meniup wisel dalam kancah Liga Malaysia kerana keputusan pengadil adalah muktamad tapi persoalannya apa kelebihan kepada pasukan yang dianiaya dapat sedangkan kesalahan yang dilakukan Khirul adalah kesalahan besar dan bukannya kesalahan kecil, lebih-lebih lagi perlawanan penting untuk layak ke separuh akhir.

“Selain mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pengadil dan penjaga garisan yang boleh dianggap cuai dan tidak ada kredibiliti serta tidak amanah, FAM dan FMLLP juga perlu memikirkan apa faedah yang diperolehi pasukan yang teraniaya termasuk wang pampasan mengikut kategori kerana pengadil berkenaan adalah pengadil profesional FAM.

“Justeru sudah tiba masanya badan induk bola sepak negara itu mengkaji semula dan bertindak kerana isu lapuk ini bukan hanya menjejaskan reputasi dan imej bola sepak negara di mata dunia tapi turut terkesan adalah pemain dan pasukan yang sudah tentu mengeluarkan bajet yang besar semata-mata untuk merebut piala berprestij negara,” katanya yang boleh dikatakan ibarat mencurah air ke daun keladi.

Pada aksi suku akhir yang berkesudahan seri 1-1 itu, T-Team mendahului pada minit kedua menerusi Safawi Rasid sebelum jaringan penyamaan kontroversi penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe pada minit ke-51.

Sebelum ini kerajaan negeri yang kesal dan kecewa dengan mutu pengadilan Khirul dan penjaga garisan Mohd Yusri Mohamad dan Mohd Hariff Md Akhir mengarahkan pengurusan T-Team menghantar surat bantahan dan laporan lengkap kepada FAM dan FMLLP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:35 AM