T Team tidak berdepan sebarang masalah tunggakan gaji. FOTO FB T Team
T Team tidak berdepan sebarang masalah tunggakan gaji. FOTO FB T Team
Isma Ismail


Kuala Terengganu: Pihak pengurusan T-Team sudah mengemukakan surat rayuan kepada Usaha Sama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) berkaitan dengan tindakan pemotongan mata yang dikenakan sebaik menerima emel mengenainya semalam.

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Aidi-Naim Mohamad Samsani berkata, pasukan T-Team tidak berdepan sebarang masalah tunggakan gaji pemain atau pegawai tetapi mengalami sedikit kelewatan berkaitan pembayaran kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PERKESO dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurutnya, kesemua bayaran tertunggak itu sudah dijelaskan bulan lalu dan surat pengesahan daripada KWSP diterima pada 27 April dan LHDN tiga hari kemudian.

"Sememangnya ada sedikit kelewatan dalam mengemas kini sistem pengurusan maklumat bola sepak (SPMB) dan MYPass, bagaimanapun kita sudah memaklumkan perkara ini sebelum tarikh akhir diberikan oleh pihak FMLLP pada 31 Mac lalu.

"Apa yang boleh saya katakan di sini, kesemua isu berhubung kelewatan pembayaran KWSP, PERKESO dan juga LHDN sudah diselesaikan dan akan memastikan perkara sama tidak akan berulang pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya mengharapkan FMLLP dapat memberi pertimbangan yang sewajarnya mengenai tindakan pemotongan mata terbabit kerana T-Team sudah berusaha untuk menyelesaikan isu itu sebagaimana garis panduan diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 4:39 PM