SIVASUNDARAM mengakui pegawai perlawanan kurang menitik beratkan aspirasi yang digariskan dalam memberikan satu keputusan yang tepat. FOTO NSTP
SIVASUNDARAM mengakui pegawai perlawanan kurang menitik beratkan aspirasi yang digariskan dalam memberikan satu keputusan yang tepat. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius kecuaian pengadilnya yang gagal mengesan 'jaringan tangan' yang dilakukan pemain Kuala Lumpur City FC (KL City), Shukor Adan pada aksi Liga Super antara KL City dan UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam, Sabtu lalu.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram, kesemua pengadil aksi itu akan diambil tindakan di atas kegagalan mereka mengesan jaringan itu.

Empat pengadil terbabit ialah Mohd Shahrizan Mohamad Solihim dibantu oleh dua pengadil, Mohd Zainudin Md Isa dan Hafizi Azmi serta pegawai keempat Mohd Shahmi Ismail.

Jelas Sivasundaram, kedudukan pengadil utama yang salah ketika memainkan bola antara punca mengapa Shahrizan gagal mengesan tindakan Shukor yang menggunakan tangan untuk menjaringkan gol penyamaan ketika di hujung permainan babak kedua.

"Suasana padat dalam kawasan penalti di samping dengan kehadiran penjaga gol KL City yang turut berada dan mencabar untuk bola ditambah dengan kepantasan bola, dan pada sekali imbas kelihatan seperti bola mengenai kepala pemain pertahanan UiTM FC, menjadikan situasi ini agar sukar bagi seseorang pengadil melakukan keputusan.

"Persatuan melalui Unit Pengadil sentiasa tekankan aspek posisi pengadil yang membabitkan jarak dan sudut pandangan, jangkaan fasa permainan dan 'dropping zone' bagi bola aerial, fokus dalam perlawanan terutama minit-minit terakhir, serta kerjasama antara kesemua pegawai perlawanan agar dapat memberikan keputusan yang sewajarnya akan tindakan-tindakan pemain dalam perlawanan.

"Ternyata dalam situasi ini kesemua pegawai perlawanan kurang menitik beratkan aspirasi yang digariskan dalam memberikan satu keputusan yang tepat.

"Justeru, tindakan yang sewajarnya akan dikenakan kepada semua Pegawai Perlawanan yang bertugas pada perlawanan itu kerana kealpaan mereka dalam mengesan kesalahan memainkan bola dengan tangan sehingga mengubah keputusan perlawanan," katanya.

Selain itu, Jawatankuasa Penilaian Pengadil FAM yang bermesyuarat turut menjelaskan jaringan pemain Penang FC, Sheriddin Boboev yang dibatalkan oleh pengadil ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah keputusan tepat.

"Bagi insiden pertama, pengadil perlawanan bertindak untuk membatalkan jaringan Penang FC pada minit ke-78 kerana tindakan pemain Penang FC berjersi No.10, Sheriddin Boboev menolak penjaga gol JDT dengan badannya.

"Pengadil dapat mengesan tindakan pemain ini dari awal pergerakan dia di mana sebelum sepakan penjuru dilakukan, pemain ini sudah menghampiri penjaga gol JDT dan semasa bola berada di udara, pemain ini mengasak secara berterusan kepada penjaga gol itu.

"Dan seterusnya menolak penjaga gol terbabit dengan badannya semasa penjaga gol melompat untuk mencabar bola di udara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 6:16 PM