Pemain Sabah FC, Sam Garyahzon Johnson (dua kanan) menjaringkan gol kedua Sabah FC dalam saingan Liga Super ketika menentang Terengganu FC di Stadium Likas. FOTO Mohd Adam Arinin
Pemain Sabah FC, Sam Garyahzon Johnson (dua kanan) menjaringkan gol kedua Sabah FC dalam saingan Liga Super ketika menentang Terengganu FC di Stadium Likas. FOTO Mohd Adam Arinin
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Berang dengan mutu pengadilan Khirulazuan Kidam, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd akan menghantar surat bantahan rasmi kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membabitkan aksi Liga Super pertemuan Terengganu FC (TFC) berdepan Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Ahad lalu.

Menurut Pegawai TFC yang enggan mendedahkan namanya, surat berkenaan akan dihantar dalam masa terdekat bagi menyuarakan rasa tidak puas hati berkaitan mutu pengadil itu yang gagal menjalankan tugas dengan berkesan selain membuat keputusan tidak tepat.

Katanya, paling mengecewakan apabila pengadil itu membatalkan jaringan pertama yang disempurnakan Jordan Mintah pada minit ke-56 kerana mendakwa penyerang import itu terlebih dahulu mengasari penjaga gol lawan.

"Seluruh peminat Malaysia boleh saksikan mutu pengadilan Khirulazuan yang terlalu rendah dan tidak layak mengadili pentas tertinggi Liga Malaysia (Liga M) itu.

"Banyak keputusan pengadil boleh dipertikaikan, bukan sahaja tidak boleh mengawal permainan malah paling menyedihkan jaringan yang dilakukan Mintah tidak dikira kerana mendakwa terlebih dahulu mengasari penjaga gol.

"Jika kita lihat jelas Mintah berada dalam kedudukan terbaik dan terlebih dahulu menyambar bola hantaran rakan sepasukan, Dechi Marcel untuk menghasilkan jaringan pertama melalui tandukan.

"Namun malang bagi kami pengadil tidak membenarkan jaringan itu biarpun rakan sepasukannya memberi penjelasan kepada pengadil berkenaan. Keputusan itu menyebabkan rekod tanpa kalah TFC lebur selain pasukan kami dinafikan untuk pulang dengan satu mata.

"Jadi kami mengambil keputusan untuk menghantar surat rasmi kepada badan induk bola sepak negara mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengadil itu walaupun sedar keputusan perlawanan tidak boleh diubah, namun ia sebagai pengajaran kepada pengadil," katanya.

Dalam perlawanan itu, skuad Penyu tidak bernasib apabila tewas 1-2 selepas ketinggalan 0-2 pada babak pertama perlawanan sebelum Mintah meledak jaringan sagu hati TFC, lebih malang pengendali skuad itu, Nafuzi Zain dilayangkan kad kuning kerana mendakwa membantah keputusan pengadil.

Berdasarkan rekod pada 2016, Khirulazuan pernah digantung selama tiga bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana gagal membuat keputusan dengan tepat ketika aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia antara pasukan kelab dari Terengganu, T-Team dengan Felda United yang berkesudahan terikat 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 6:21 PM