ANTARA barisan artis yang hadir pada malam perasmian pameran Wanita yang berlangsung di Galeri HOM Art Trans.
ANTARA barisan artis yang hadir pada malam perasmian pameran Wanita yang berlangsung di Galeri HOM Art Trans.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Galeri HOM Art Trans sekali lagi membuka tirai pada Ogos lalu dengan menampilkan karya seni artis muda wanita dengan pameran bertajuk ‘Wanita’.

Sebanyak 16 karya dipamerkan hasil tangan artis pelbagai latar akademik, antaranya daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dasein Academy of Art dan University of East London.

Artis yang terbabit ialah Alexandra Hon, Louise Low, Low Kar Lai, Marisa Ng, Nadia Yasliza, Ony Jamsari, Sofia Haron, Sophia Kamal, Tan Lu Man, Toh May Xuen, Yau Sir Meng dan Yim Yen Sum.

Pameran dua minggu itu menjadi platform kepada artis berkenaan mencipta nama dalam dunia seni selain meningkatkan kemahiran masing-masing.

Menurut Ony, karya yang ditampilkan adalah inspirasi daripada kehidupan peribadi serta kenangan masa lalu.

“Saya ambil masa sekitar dua bulan untuk mendapatkan idea serta mood menghasilkan karya ini, namun proses menyiapkannya hanya seminggu.

“Saya ekspresikan idea sebagai wanita dan inspirasi serta idea untuk hasilkan figuratif ini datang daripada ibu saya.

“Namun, imej wanita itu saya guna teknik bayangan atau ‘silhouette’ kerana ia mengembalikan masa silam. Ketika berada di rumah saya selalu hasilkan bayang daripada cahaya lilin,” katanya.

Sofia pula berkata, karya bertajuk ‘Preserving Modesty’ yang dihasilkannya menggunakan teknik kolaj melambangkan dirinya sebagai wanita.

“Sebelum ini, saya suka lihat kartun fantasi dan lihat figura puteri yang cantik dan mahu jadi seperti mereka.

“Namun, apabila sudah dewasa, saya sedar apa yang saya inginkan ialah menjadi seorang Muslimah yang baik.

“Dari situ, saya mendapat inspirasi dan hasilkan kolaj ini yang kebanyakan menggunakan medium fabrik daripada pakaian saya sendiri,” katanya.

Pameran yang dirasmikan pensyarah UiTM Dr Sharmiza Abu Hassan ini dibuka kepada orang ramai sehingga 7 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 5:56 AM