Oleh Ardini Sophia Sina

Persembahan Bront Palarae atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin tidak pernah menghampakan. Sesukar mana pun watak diberi, dia mampu menjiwainya dengan berkesan.

Dia yang mula mendapat perhatian menerusi drama Sindarela, antara aktor yang bijak memberi jiwa dan emosi dalam setiap karakter dihidupkan.

Terbaru, lakonan Bront dalam Terbaik Dari Langit iaitu filem arahan Nik Amir Mustapha turut mendapat pujian. Memegang watak Berg yang pernah melihat kapal makhluk asing di usia remaja, dia berusaha mengumpul teman karib bagi membantunya menghasilkan filem mengenai pencarian makhluk asing itu.

Jelas Bront, karakter Berg mudah direalisasikan, malah dia tidak berdepan masalah sepanjang penggambaran.

"Bagi saya, watak Berg tidak mencabar sangat dan mudah dibawa. Daya tarikan utama saya menerima tawaran ini bukan kerana watak Berg, sebaliknya disebabkan skripnya bagus.

"Dari dulu saya sangat menekankan skrip dan pada tahap sekarang ini dapat bezakan cerita menarik atau tidak apabila meneliti skrip. Selalunya, saya akan baca 10 muka surat pertama, 10 lagi di pertengahan dan seterusnya pada babak akhir.

"Kalau bahagian awalnya menarik perhatian, saya akan baca hingga habis. Apabila baca skrip Terbaik Dari Langit, terasa seperti baca novel. Boleh dikatakan skrip filem ini yang terbaik pernah saya baca," kata anak jati Alor Setar, Kedah ini.

Tambah Bront, sebaik selesai membaca skrip dia terus menghubungi sahabatnya, Megat Shahrizal dan menyatakan minat menyertai projek itu. Megat yang juga antara penggerak Terbaik Dari Langit turut membintangi karya berkenaan dengan memegang watak Ali.

"Dengan skrip sebaik itu, saya percaya siapa pun yang terbabit dalam filem pasti menunjukkan persembahan bagus.

"Ketika menerima skrip, saya langsung tidak tahu identiti penulisnya kerana yang tertulis hanya huruf R dan M. Ketika sesi bacaan skrip bersama pelakon lain, perkara pertama saya tanya adalah siapa penulis skrip.

"Kami duduk dalam bulatan. Tiada sesi perkenalan formal kerana masing-masing kenal dan rapat. Tidak lama selepas itu baru saya tahu penulisnya adalah Redza Minhat. Dia memang penulis skrip yang kreatif," katanya yang fasih bertutur bahasa Siam.

Saat ditanya babak kegemarannya, Bront berkata, dia lebih suka melihat babak dilakonkan orang lain, lebih-lebih lagi membabitkan perjalanan cinta antara Toyu lakonan Amerul Affendi dan Sofia Jane (Nadiya Nisaa).

Babak badan Amerul diwarnakan dengan rona biru juga buat dia teruja. Dia dan rakan sanggup datang awal ke lokasi penggambaran bagi melihat proses itu dilakukan. Keseronokan dirasai terbawa-bawa hingga penggambaran.

Kongsi Bront, kali pertama dia beraksi dengan Allahyarham Datuk Aziz Satar menerusi filem Anak Halal. Ketika itu seniman terulung itu masih sihat dan kuat.

Bertemu sekali lagi dalam Terbaik Dari Langit adalah peluang yang sungguh bermakna buatnya kerana itu gandingan terakhir mereka dan pasti ia menjadi kenangan bermakna buatnya.

"Dalam Anak Halal, arwah masih sihat dan kami banyak berbual. Selepas lima tahun, baru dapat berlakon lagi dengan arwah.

"Saya antara yang bertuah kerana diberi peluang beraksi dengan arwah. Ada juga kenangan saya bersamanya," kata Bront.

Bercerita lanjut perihal filem terbarunya, Bront berkata, ia sungguh istimewa kerana menggabungkan elemen artistik dan komersial.

"Ketika ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Tokyo, seorang profesor berbangsa Jepun yang meminati filem Asia memberi komen, Terbaik Dari Langit adalah satu produk peralihan ke tahap baru.

"Kalau mahu katakan ia filem seni, tidaklah terlalu artistik sangat namun kalau nak ditafsirkan sebagai komersial, tidaklah terlalu menjurus ke arah itu.

"Di Hollywood, filem sebegini yang dicari. Mampu menghiburkan tetapi masih mempunyai nilai artistik tinggi," kata Bront.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:06 AM