SUMPAHAN JERUNEI angkat kisah kaum Melanau di Sarawak.
SUMPAHAN JERUNEI angkat kisah kaum Melanau di Sarawak.
Ramlah Zainal


PELAKON utama filem Sumpahan Jerunei, Bront Palarae menganggap dirinya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan kru filem bergenre seram fiksyen yang diterajui Jason Chong itu.

Melakonkan watak Doktor Sani, Bront Palarae atau pemilik nama Nasrul Suhaimin Saifuddin, 44, berkata masing-masing berjaya membawa peranan yang ditugaskan dengan baik.

Mengulas lanjut mengenai gandingan bersama Uqasha Senrose, kata Bront, dia mudah bekerjasama dengan pelakon jelita dan berpengalaman itu.

"Bukan dengan Uqasha sahaja, saya juga tidak ada masalah mendapatkan keserasian dengan pelakon lain kerana ia membabitkan kerjasama secara berkumpulan.

"Plot penceritaan filem ini juga mengenai ekspedisi sekumpulan pengkaji," katanya.

Mengulas kerjasama dengan Jason, kata Bront, dia memang rindu untuk bekerja dengan pengarah berkenaan.

"Saya pernah bekerja dengan Jason dalam beberapa projek filem, tetapi dalam genre berbeza.

"Antaranya, filem Belukar, Kau Takdirku dan dua musim siri The Bridge.

"Jadi dah pasti saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan bekerjasama dengan Jason dalam filem ini," katanya.

Bercerita lanjut mengenai cabaran dihadapi ketika penggambaran filem itu sebagai Doktor Sani pengkaji yang bertugas di Jabatan Muzium di Kuching, Sarawak, Bront memberitahu cabaran hadir dari aspek logistik kerana banyak babak dan lokasi membabitkan penggambaran dalam hutan.

BRONT mendapat kepercayaan penerbit, Datin Wendy Wong dan Datuk Nancie Foo.
BRONT mendapat kepercayaan penerbit, Datin Wendy Wong dan Datuk Nancie Foo.

Ditanya pula kelainan filem Sumpahan Jerunei berbanding genre seram yang pernah dilakonkan, kata Bront, dia tertarik dengan nilai budaya yang diketengahkan dalam filem yang mengangkat mesej mengenai adat dan budaya unik kaum Melanau di Sarawak.

"Saya ditawarkan penerbit, Datin Wendy Wong dan Datuk Nancie Foo untuk berlakon dalam filem ini pada Festival Filem dan Anugerah Antarabangsa Asean (AIFFA) 2019.

"Saya menerima tawarannya untuk berlakon dalam filem Sumpahan Jerunei kerana tertarik dengan elemen pengembaraan dan nilai budaya yang diketengahkan dalam naskhah ini," katanya.

Dari segi tarikan filem, kata Bront, banyak babak menarik yang boleh memberikan pengalaman mengasyikkan kepada penonton.

Selain Bront, Uqasha filem Sumpahan Jerunei terbitan Produksi Seni 2020 dan ditayangkan di pawangam bermula 27 Julai ini turut dibarisi pelakon hebat antaranya Daiyan Trisha, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Tony Eusoff, Ruminah Sidek dan Yuyun Hikmah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 6:12 AM