Antara warga Thailand yang ditahan. FOTO ihsan Jabatan Imigresen Pulau Pinang
Antara warga Thailand yang ditahan. FOTO ihsan Jabatan Imigresen Pulau Pinang
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Dua belas lelaki termasuk seorang kanak-kanak dan enam wanita Thailand ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi Ops Ikrar sekitar Seberang Perai Selatan malam tadi.

Operasi bermula dari 8.30 malam hingga 12 tengah malam itu membabitkan sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang yang diketuai Ketua Operasi negeri, Fairos Ismail.

Fairos berkata, operasi itu tertumpu di beberapa restoran masakan Thailand sekitar Sungai Jawi, Sungai Bakap dan Nibong Tebal.

Beliau berkata, semua yang ditahan itu berusia 17 hingga 41 tahun termasuk kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.

"Mereka melakukan pelbagai kesalahan termasuk tinggal lebih masa, tiada dokumen perjalanan yang sah dan salah guna pas lawatan sosial.

"Mereka dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen negeri, Seberang Jaya untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 4:46 PM